ERNIE Zakri harap duet lagu Hal Hebat bersama Govinda buka pintu teroka pasaran Indonesia.
ERNIE Zakri harap duet lagu Hal Hebat bersama Govinda buka pintu teroka pasaran Indonesia.
Syafil Syazwan Jefri


SEBUT saja judul lagu Hal Hebat, tentunya ia tidak lagi menjadi satu karya yang asing bukan saja di negara asalnya Indonesia, tetapi juga di Malaysia.

Lagu ini bukan saja berkumandang di stesen-stesen radio, malah turut menjadi lagu latar di pelbagai platform media sosial antaranya TikTok.

Terbaharu, Hal Hebat yang pernah dikeluarkan pada 2020 kini dihasilkan dalam versi duet menggabungkan band dari Indonesia, Govinda dengan penyanyi Malaysia, Ernie Zakri.

Ernie berkata, kerjasama ini adalah satu perkara yang dinanti-nantikan sekali gus membawa rasa teruja buatnya.

"Ketika ditawarkan untuk menyanyikan semula lagu ini, saya tahu mengenai popularitinya kerana ia sering digunakan sebagai lagu latar di TikTok.

"Tentunya, saya rasa sangat gembira dan ingin bekerja sama dengan Govinda," katanya.

Berkongsi pengalaman saat berada di Jakarta untuk merakamkan semula lagu ini, Ernie bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar walaupun dalam masa yang terhad.

"Saya perlu merakamkan lagu ini dan dalam minggu yang sama saya juga perlu siapkan video muzik Hal Hebat bersama Govinda. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar," katanya.

Ditanya sama ada timbul rasa bimbang mengenai penerimaan versi baharu ini, Ernie tidak menafikan perasaan itu pernah ada.

Namun, dia juga bersyukur kerana mendapat bantuan dan bimbingan daripada penerbit serta Govinda sendiri.

ERNIE dan Govinda ketika merakamkan video muzik Hal Hebat.
ERNIE dan Govinda ketika merakamkan video muzik Hal Hebat.

"Sejujurnya, timbul juga rasa bimbang memandangkan lagu hebat ini sudah cukup kuat bukan saja di Indonesia tetapi juga di Malaysia.

"Jadi, untuk memberi kelainan kepada versi duet ini, saya menjadi diri sendiri dan tampilkan sedikit perbezaan. Mujurlah saya juga mendapat bantuan daripada penerbit vokal di sana serta rakan-rakan dari Govinda yang banyak membantu," katanya.

Ernie juga berharap agar kerjasama ini bakal membuka ruang untuk yang meneruskan kerja-kerja seni di Indonesia pada masa akan datang.

"Saya berharap kerjasama ini dapat membuka pintu untuk saya melebarkan sayap ke Indonesia sekiranya ada rezeki," katanya.

Sementara itu, penyanyi Govinda, Ifan berkata, kerjasama ini adalah yang pertama buat mereka dan dia berharap supaya lagu Hal Hebat versi duet ini menjadi pengikat hubungan antara kedua-dua negara.

"Ernie Zakri adalah salah seorang penyanyi terbaik dari Malaysia bukan saja dari sudut vokal, malah penjiwaannya dalam nyanyian.

"Apa yang boleh saya katakan, proses rakaman memberikan kepuasan kepada kami lebih-lebih lagi selepas melihat hasilnya.

"Ini adalah kerjasama pertama kami dengan penyanyi dari Malaysia dan kami berharap, mudah mudahan lagu ini menjadi pengikat buat hubungan Malaysia dan Indonesia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 6:30 AM