GOVINDA akui pilihan untuk berkolaborasi dengan Ernie Zakri adalah satu tindakan tepat.
GOVINDA akui pilihan untuk berkolaborasi dengan Ernie Zakri adalah satu tindakan tepat.
Najiy Jefri


KUMPULAN Indonesia, Govinda mengaku penyanyi Ernie Zakri adalah pilihan tepat untuk berkolaborasi menerusi lagu Hal Hebat.

Anggota kumpulan Govinda, Ade Nurulianto berkata, Ernie mempunyai bakat luar biasa dan keikhlasan dalam menyanyikan sesebuah lagu.

Lebih menarik, isteri kepada penyanyi Syamel itu mempunyai nada sempurna dan sukar untuk mencari seorang penyanyi yang mempunyai bakat sama.

"Dia menyanyi daripada hati. Malah Pitch Ernie sangat bagus. Kita dapat rasa keikhlasan dia ketika menyanyi. Itu yang membezakan dia dengan penyanyi lain.

"Ernie umpama berlian. Di mana pun dia berdiri, dia adalah berlian. Saya sendiri mengagumi karakter vokalnya," kata Ade yang juga komposer terkemuka.

Hal Hebat mencipta fenomena apabila ditonton lebih 40 juta peminat di YouTube dan menjadi antara lagu popular untuk dinyanyikan semula, terutama selepas penyanyi, Cakra Khan turut membawakan kembali lagu terbabit.

GOVINDA dan Ernie Zakri berkerjasama dalam Hal Hebat.
GOVINDA dan Ernie Zakri berkerjasama dalam Hal Hebat.

Dalam pada itu, Ernie berkata, ketika merakamkan lagu terbabit dia cuba menyelami kisah cintanya dengan suami bagi mendapatkan lebih penghayatan.

"Maksud lagu Hal Hebat ini sangat indah. Bila saya rakam lagu ini, memang ada sedikit kesayuan di hati sebab bila berbicara mengenai penghargaan orang yang tersayang, memang besar maknanya," katanya.

Tambah Ernie, dia terbuka untuk bekerjasama dengan Ade yang pernah mencipta lagu Terbaik Bagimu nyanyian penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

"Memang saya ada berbincang dengan Ade. Teringin juga dia menghasilkan sebuah lagu yang mampu mencerminkan kematangan saya dalam industri," katanya.

Hal Hebat nyanyian Govinda dan Ernie sudah mendapat tontonan lebih dua juta di YouTube dan rangka promosi di dua negara sedang giat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 6:44 AM