ERNIE ZAKRI tampil pertaruhkan single Astana buat peminat muzik tempatan.
ERNIE ZAKRI tampil pertaruhkan single Astana buat peminat muzik tempatan.
Norhayati Nordin


PENYANYI Ernie Zakri, 30, kembali merancakkan semula karier seninya dengan melancarkan single terbaharu, Astana juga kesinambungan dari lagu popularnya sebelum ini, Ku Bersuara yang pernah mencetus fenomena.

Biarpun kini bergelar isteri dan ibu seorang cahaya mata perempuan, namun Ernie tetap membahagi masa dengan sebaiknya antara kerjaya dan pengurusan keluarga. Baginya, kedua-dua harus bergerak seiring.

Apapun, istimewanya single Astana ini pastinya kerana mendapat sentuhan ciptaan komposer terkenal seperti Omar K dan Shazriq Azeman yang juga disertai Ernie bersama suami tercinta, Syamel untuk berkongsi ilham.

Ernie berkata, dia tidak menduga Omar K sudah pun membayangkan dirinya yang dipilih akan menyanyikan lagu ini. Jelasnya, dia juga terus bersetuju sebaik Omar K memberitahu karya Astana itu sesuai dengannya.

"Alhamdulillah, dalam lagu ini (Astana) saya dan suami, Syamel turut berpeluang menyumbangkan beberapa idea bagi memberi 'touch' (sentuhan) Ernie Zakri kerana saya percaya pentingnya bekerjasama untuk sesebuah karya.

"Ditambah, lagu ini juga menceritakan mengenai perhubungan akrab sama ada teman rapat mahupun keluarga yang mengajaknya keluar dari situasi yang negatif agar tidak terus terjerumus dengan dunia itu.

"Kiranya, kalau dilihat semula dalam lagu Ku Bersuara, mangsa berani meluahkan isi hatinya. Namun, dalam Astana pula wanita terbabit keluar meninggalkan tempat itu demi menjalani hidup yang lebih baik," katanya.

ASTANA, single ciptaan Omar K dan Shazriq Azeman istimewa buat Ernie.
ASTANA, single ciptaan Omar K dan Shazriq Azeman istimewa buat Ernie.

Menurutnya, single bergenre pop ini juga masih mengekalkan nuansa 'RnB/Soul', sama seperti lagu Ku Bersuara dulu. Tapi, apa yang pasti lebih berimpak dengan dinamik nyanyiannya yang pelbagai, sekali gus menambah 'flavour' (rasa) istimewa.

"Proses rakaman single Astana juga tidak lama, hanya dalam masa sehari untuk disempurnakan bertempat di studio milik Omar K. Manakala, bagi proses 'mixing' dan 'mastering' pula berlaku dalam tempoh agak singkat.

"Selain itu, pembikinan muzik video (MV) single ini juga banyak bermain dengan 'metafora 'yang menggambarkan perasaan seorang wanita terikat dengan perhubungan negatif atau toksid," katanya.

Ernie yang kini dalam rangka mengadakan 'showcase' (persembahan) solonya awal tahun depan, mengakui amat teruja kerana masih mendapat kepercayaan dan peluang untuk terus menghiburkan peminat-peminatnya.

"Di kesempatan ini, saya terlebih dulu ingin mengucapkan terima kasih kepada penonton yang sudah hadir menyaksikan Konsert Aku Cinta pada Oktober lalu dengan maklum balas sangat luar biasa.

"Jujur diakui, saya memang tidak menyangka tiket konsert itu mampu terjual 'sold out' (habis). Selain itu, single Hal Hebat yang juga karya duet saya bersama band popular dari Indonesia, Govinda turut mendapat sambutan hangat daripada peminat di dua negara serumpun.

"Terima kasih daripada saya buat Govinda di atas kerjasama ini dan syukur sangat segala susah payah dan kerja keras dilakukan itu berhasil," katanya yang bakal beraksi lagi di Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL37) nanti.

Sehubungan itu, single Astana yang diterbitkan Rocketfuel kini boleh dimuat turun di iTunes, termasuk dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan. Ia juga boleh distrim menerusi Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 6:11 AM