SHUIB
SHUIB
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelawak Shuib Sepahtu meluahkan kekecewaan terhadap pelawak yang menjadikan sentimen agama sebagai bahan lawak dan hinaan yang tular ketika ini.

Shuib berpendapat, isu yang timbul sedikit sebanyak memberikan impak negatif terhadap pelawak lain yang turut berkecimpung dalam bidang yang sama.

"Bila isu ini terjadi, memberi kesan kepada 'stand up comedian' yang lain. Apatah lagi, ada yang baru hendak mula aktif selepas Covid-19. Sudah tentu pelawak-pelawak yang lain turut terpalit dengan isu ini dan menimbulkan perasaan yang tidak enak dalam diri.

"Sedih sebenarnya sebab saya dilahirkan daripada program komedi. Saya tahu betapa sukar untuk mencari ruang sebagai pelawak.

"Dulu, bidang komedi ini tidaklah diangkat sangat… sehinggalah Saiful Apek berjaya meraih Anugerah Bintang Popular dan terus mengangkat bidang komedi ini ke tempat yang sepatutnya," kata Shuib.

Menurutnya kekecohan yang berlaku sedikit sebanyak mengingatkan padanya kisah lama sewaktu mula-mula menapak sebagai pelawak suatu ketika dahulu.

Sementara itu, Shuib yang bergelar Juara Raja Lawak musim ketiga bersama kumpulan Sepah menambah, dia kini berasa takut untuk melawak, bimbang jika ada lawaknya yang boleh menyentuh sensitiviti orang lain.

"Benar, saya takut nak buat lawak… dan sudah tentu, ruang untuk melawak akan menjadi makin terhad. Dulu isu 'body shaming', kita faham dan terima untuk tidak melawak tentang rupa bentuk tubuh orang.

"Kemudian, benda yang saya dan kumpulan saya sendiri buat iaitu lawak double meaning. Apabila ditegur, kami pun sedar yang benda itu tak baik terutama untuk budak-budak.

"Terbaharu isu agama dan bangsa juga. Tapi sebenarnya, kalau kita bijak dan kreatif, walau macam mana sempit pun skop melawak itu, kita mampu cari subjek yang sesuai untuk dilawakkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 1:00 PM