MAD gunakan pengalaman sebaik mungkin sekiranya terpilih sebagai penyampai radio.
MAD gunakan pengalaman sebaik mungkin sekiranya terpilih sebagai penyampai radio.
Syafil Syazwan Jefri


Rezeki ada di mana-mana. Inilah yang dipegang pelawak Mad Sabah yang kini turut menjadi finalis dalam program Pencarian Penyampai Pagi Era Sabah.

Mad yang bermula dengan program Lawak Solo melihat peluangnya bergelar finalis mungkin memberikan satu lagi pengalaman baru buatnya.

“Pada awalnya, saya sekadar mencuba nasib dengan memuat naik video kreatif ke media sosial bagi menyertai Pencarian Penyampai Pagi Era Sabah. Tak sangka pula nama saya terpilih untuk menyertai sesi uji bakat,” katanya.

Menurutnya, dia yang turut aktif sebagai pengacara majlis sememangnya menyimpan impian untuk mencuba perkara baru sebagai pengacara.

“Saya pernah mengendalikan beberapa majlis di sekitar Kuala Lumpur dan Melaka. Alhamdulillah, sedikit sebanyak pengalaman itu saya akan cuba gunakan sebaik mungkin sekiranya terpilih untuk bergelar penyampai radio bersama Era Sabah,” katanya.

Ditanya mengenai kesukaran yang terpaksa diharunginya, Mad mengakui dialek Sabah masih pekat dan perlu diperbaiki.

“Saya sudah dua tahun menetap di Kuala Lumpur dan berkahwin dengan orang Semenanjung. Memang saya dan isteri menggunakan bahasa Melayu biasa ketika bertutur.

“Namun, ia bukanlah bererti saya lupakan bahasa negeri asal saya. Ada beberapa ketika saya menggunakan bahasa Malaysia standard.

“Ketika diuji bakat, semua peserta perlu bertutur dalam dialek Sabah sepenuhnya,” katanya.

Ditanya sama ada kecewa dengan bidang komedi memandangkan namanya tidak kukuh seperti seperjuangan lain, Mad menafikannya.

“Tidak pernah timbul rasa kecewa atau putus asa kepada bidang komedi. Saya cuma mahu mencuba benda baru dan mana tahu, ia mampu menjadi satu lagi kerjaya buat saya.

“Jika bekerja di stesen radio pun, elemen komedi masih akan diterapkan kerana itu antara tarikan buat pendengar,” katanya.

Menurutnya, dia juga sedang merangka idea untuk memantapkan skilnya sebagai pelawak.

“Sekarang saya mencari idea dan menulis material yang dirasakan mampu digunakan sebagai pelawak. Selepas tersingkir daripada program Maharaja Lawak Mega pada minggu ketiga, saya kaji semula punca tersingkir.

“Dari situ, saya lihat balik persembahan saya, cari kekurangan dan cuba untuk perbetulkan apa yang masih lemah,” katanya.

Tidak hanya menunggu rezeki datang bergolek, Mad juga kerap kali diberi kepercayaan untuk menjadi penghibur untuk beberapa acara besar sebagai ‘stand up comedian’.

Terbaru, Mad bakal terbabit dalam Kuala Lumpur International Comedy Festival 2017 (KLICF2017).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 4:49 AM