LOQUE Monoloque ketika sidang media di Majlis Tayangan Perdana Muzik Video Rasmi Monoloque, Lagu Cinta dan Gostan di Pawagam P. Ramlee, Ulu Klang. FOTO EIzairi Shamsudin
LOQUE Monoloque ketika sidang media di Majlis Tayangan Perdana Muzik Video Rasmi Monoloque, Lagu Cinta dan Gostan di Pawagam P. Ramlee, Ulu Klang. FOTO EIzairi Shamsudin
Norhayati Nordin


Hulu Klang: Penyanyi dan komposer, MonoloQue, 45, tidak pernah ambil peduli apabila dia dilabel 'syok sendiri' dengan karya lagu yang terlalu berseni, berat sehingga sukar difahami pendengar muzik.

MonoloQue atau Loque ketika ditemui berkata, setiap hari dia mendapat kritikan daripada pelbagai pihak yang menganggapnya 'syok sendiri' dalam berkarya.

Katanya, dia okay saja kerana menghormati setiap orang berhak menyuarakan pandangan masing-masing.

"Dikritik orang pasal muzik dan lagu, dah biasa. Hari-hari dikritik daripada peminat sendiri, peminat luar, orang baru dan orang lama, macam-macamlah. Pendirian saya seni itu tidak patut 'dipenjarakan' (tertumpu genre tertentu saja).

"Seniman (penggiat seni) itu sendiri pun tidak patut penjarakan (tidak bebas berkarya), dipenjarakan daripada gaya, dipenjarakan daripada reputasi. Dia patut bebas, sebab saya lagi sanggup 'anyam tikar' (buat kerja) hari- hari orang kritik, berbanding tak buat apa-apa tapi asyik mengkritik orang," katanya kepada Harian Metro.

Loque atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Anuar berkata, dia tidak 'sakit' dengan kritikan diberikan kerana disifatkan lebih baik daripada menjadi individu yang hanya tahu mengkritik orang lain dan tidak buat apa-apa.

"Saya lagi sanggup buat lagu sebanyak 100 ke 200 karya yang sentiasa dikritik, daripada tidak buat apa-apa tapi asyik mengkritik hasil kerja orang lain dengan mendakwa lagu dihasilkan tidak bagus.

"Insya-Allah saya akan terus bertahan dalam perjuangan muzik ini dan tidak berasa kecewa walau sedikit hanya disebabkan kritikan tidak membina itu. Lagipun, memang kena ada 'syok sendiri kalau kita nak berkarya sebagai pemangkin semangat," katanya.

Terdahulu, LoQue bersama anggota MonoloQue iaitu Afiz Loko, Bakri Ismail, Memey dan Harry Misteri muncul dengan 'band projek', Gostan bekerjasama dengan, Asmidar melancarkan lagu Dia Datang nyanyian asal 'Raja Gambus' iaitu Allahyarham Fadzil Ahmad.

Mengetengahkan pelakon, Azhar Sulaiman dalam muzik video Dia Datang, LoQue berkata, dia kagum Azhar sanggup menari depan orang ramai ketika penggambaran dibuat pada Ramadan lalu di sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibu kota.

Bersama MonoloQue juga dilancarkan satu single baharu, Lagu Cinta berserta muzik video.

Menurut LoQue, Lagu Cinta adalah karya yang menceritakan hubungan kasih sayang dengan kekasih, ibu bapa, keluarga, adik-beradik dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 3:39 PM