Yusof bersama Jin pada satu majlis. FOTO HM
Yusof bersama Jin pada satu majlis. FOTO HM
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penerbit dan pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam menyifatkan pemergian Tan Sri Jins Shamsuddin sebagai satu kehilangan besar buat industri perfileman tempatan.

Yusof ketika ditemui berkata, negara kehilangan seorang lagi tokoh seni serba boleh dan disegani.

"Sepanjang pembabitannya, beliau banyak meninggalkan jasa terhadap industri perfileman tempatan. Antaranya beliau adalah penyumbang idea bagi penubuhan Pebadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia.

"Selain itu Syarat Wajib Tayang untuk filem tempatan juga adalah idea asal beliau bagi memastikan filem negara wajib ditayangkan dalam tempoh seminggu atau dua minggu di pawagam.

"Apabila beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara, ia satu sejarah kepada industri seni kerana menjadi anak seni pertama yang dilantik sebagai Senator,"katanya

Menurut Yusof, dia juga banyak mengambil semangat Jins untuk berjaya dalam industri filem.

"Saya anggap arwah sebagai abang sendiri. Malah ketika zaman remaja saya sangat memuja lakonannya. Jadi saya rasa sangat beruntung kerana dapat bekerjasama dengannya dalam banyak filem dan drama termasuklah filem Bukit Kepong di bawah arahannya.

"Malah bergerak dalam industri ini, saya mengambil semangat juang dan cara kerja beliau yang begitu komited," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 10:39 PM