Haidar (kiri) dan Fify pernah menjalin cinta.
Haidar (kiri) dan Fify pernah menjalin cinta.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Bekas kekasih kepada pelakon Fify Azmi yang juga pelakon baru, Haidar Hasanudin tampil mempertahankan kontroversi kurang enak yang terpalit dengan pelakon itu apabila dikatakan menggunakan dadah untuk menambah penghayatan dalam lakonan.

Haidar berkata, dia terkejut ketika membaca kisah Fify di internet kerana cukup mengenali keperibadian Fify ketika masing-masing belum bergelar artis.

"Mengenali Fify sejak 2015, saya yakin dia bukan wanita sebegitu. Sebelum ini hubungan saya dengan Fify memang rapat dan saya pernah membimbing jadual seninya.

"Fify seorang yang bertanggungjawab dan sentiasa menepati waktu. Saya pun tidak pernah ada sebarang isu dengannya walaupun hubungan kami sudah lama berakhir," katanya.

Menurut Haidar, dia dan Fify mula membawa haluan hidup masing-masing sekitar tahun 2020 bagi memberi fokus kepada kerjaya masing-masing, namun sentiasa terbuka jika ada peluang berlakon bersama.

"Saya dan Fify tidak bergaduh, tapi masing-masing sudah ada kerjaya dan jalan hidup sendiri. Fify pun sudah temui pengganti baru.

"Walaupun hubungan kami sudah lama berakhir, tapi saya selalu mendoakan kejayaan Fify kerana dia sangat berbakat. Malah saya juga jadikan dia sebagai rujukan untuk saya membawa diri dalam industri.

"Saya selalu juga doakan semoga Fify dan juga kekasihnya iaitu pelakon, Nafiez Zaidi bahagia. Saya tidak punya masalah jika bergandingan dengan mereka dalam apa-apa naskhah," katanya.

Terdahulu pada 7 Jun lalu, Fify membuat laporan polis mendakwa wang hasil penat lelahnya dilarikan seorang wanita yang dikenalinya secara dekat.

Susulan pendedahan terbabit, individu terbabit juga meluahkan rasa terkilan dan menyifatkan Fify tidak sepatutnya menguar-uarkan salah faham antara mereka yang sebenarnya boleh diselesaikan secara baik.

Wanita terbabit memuat naik status berunsur ugutan dalam InstaStory miliknya yang dipercayai ditujukan kepada Fify biarpun tidak menyebut nama individu yang dimaksudkan.

Antara status yang dimuat naik sebelum dipadam ialah individu yang mencalarkan maruahnya itu memerlukan bantuan dadah untuk kekal aktif ketika berlakon.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 1:16 PM