Bahran dan isteri
Bahran dan isteri

Kuala Lumpur: Penyanyi Ariff Bahran mengaku tiada masalah untuk menguruskan cahaya mata sulung lelaki yang bakal lahir pada Julai ini.

Bahran berkata, sebagai anak sulung daripada tujuh beradik, dia sudah terbiasa menjaga adik-adiknya.

"Insya-Allah saya boleh mengalas tanggungjawab ini. Lagipun saya sudah biasa menjaga adik-adik saya sejak mereka kecil.

"Saya dapat rasakan anak kami akan lebih disayangi oleh datuk dan nenek mereka kerana ini adalah cucu pertama bagi kedua-dua belah pihak.

"Saya banyak bertanya kepada ibu bapa mengenai persediaan menjadi ayah. Banyak juga ilmu yang diturunkan. Selain itu saya sentiasa berdoa agar segala urusan dipermudahkan," katanya.

Menurut Bahran, dia menyerahkan kepada isterinya, Amirah Syazwani Ridzwan untuk membuat keputusan dan bersedia berkongsi wajah anak selepas bersalin.

"Saya sudah ada senarai nama anak, cuma saya biarkan isteri untuk buat keputusan.

"Selepas dilahirkan nanti kami akan kongsikan nama serta wajah anak kepada umum," katanya.

Bahran dan Amirah mendirikan rumah tangga pada September tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 4:11 PM