Persembahan duo sepupu, Haqiem Rusli dan Ariff Bahran pada pentas akhir program Famili Duo 3 di Studio NTV7, Glenmarie. FOTO ASYRAF HAMZAH
Persembahan duo sepupu, Haqiem Rusli dan Ariff Bahran pada pentas akhir program Famili Duo 3 di Studio NTV7, Glenmarie. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Ariff Bahran menerima kritikan mengenai bentuk badannya secara terbuka apabila juri program Famili Duo 3, Mas Idayu menasihatinya agar menurunkan berat badan.

Ariff yang bergandingan dengan sepupunya, Haqiem Rusli dalam program itu berkata, dia faham mengenai situasi yang berlaku dan mengakui berat badannya naik selepas mendirikan rumah tangga dan membuat kemunculan semula.

"Saya okay saja. Tak terasa pun sebab memang orang kenal saya waktu badan saya masih kurus. Tapi, sekarang selepas berumah tangga dan muncul dalam Famili Duo 3, badan saya dah lain dan berat badan pun dah bertambah.

"Jadi, memang orang akan nampak perbezaannya. Namun, seperti yang saya katakan, saya tak terasa hati dengan teguran Mami (Mas Idayu)," katanya.

Menurut Bahran, dia sememangnya dalam proses menurunkan berat badannya demi program itu dan juga kelangsungannya untuk bergelar anak seni di dalam industri.

"Saya memang sasarkan untuk turunkan berat badan sebelum menyertai program ini dan saya aktif juga bermain badminton. Kami, peserta program ini pun selalu luangkan masa bersama bermain badminton.

"Sekarang, saya dah berjaya turunkan lebih kurang sembilan kilogram dengan cara bersukan di samping tidak makan nasi," katanya.

Terdahulu, Mas Idayu menegur supaya Bahran menurunkan berat dan mengecilkan bentuk badannya memandangkan statusnya sebagai selebriti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 5:08 PM