NIZAM Laksamana berucap ketika Majlis Sidang Media Showcase Amal Keluarga Malaysia Artis Lagenda 3.0 di Bangi Resort Hotel, Bangi. FOTO Azhar Ramli
NIZAM Laksamana berucap ketika Majlis Sidang Media Showcase Amal Keluarga Malaysia Artis Lagenda 3.0 di Bangi Resort Hotel, Bangi. FOTO Azhar Ramli
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi yang juga penganjur acara Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0, Nizam Laksamana menegaskan bahawa hasil sumbangan daripada acara amal itu akan disalurkan sepenuhnya kepada pesakit-pesakit kanser yang memerlukan bantuan.

Menurutnya, dia juga tidak mengadakan acara yang masuk kali ketiga itu semata-mata untuk isterinya yang juga penghidap kanser payudara.

"Acara amal ini bukanlah untuk isteri saya semata-mata, tetapi saya mengambil semangat pesakit-pesakit kanser dan mengumpul dana untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nizam, dia memberi penjelasan itu bagi mengelakkan timbul sebarang anggapan daripada orang ramai.

"Saya jelaskan supaya tidak timbul sebarang khabar angin atau anggapan bahawa saya mengutip dana dan sumbangan, untuk isteri saya.

"Untuk kos rawatan dan perubatan isteri saya, ia dibantu oleh pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan juga Majlis Kanser Nasional (Makna)," katanya.

Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0 yang bakal berlangsung pada 4 Jun depan di Bangi Resort Hotel itu akan menggabungkan barisan artis legenda seperti Ezad Lazim, Zarul Umbrella, Baggio, Tam Spider, Ibnor Riza, Rahmad Mega dan Ramlah Ram.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 4:07 PM