SANGEETA (kiri) bersama Angeline Tan.
SANGEETA (kiri) bersama Angeline Tan.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pelakon Sangeeta terpaksa mengurangkan makan dan tidur bagi menjayakan watak Devika seorang ibu Orang Kurang Upaya (OKU) pekak dan bisu dalam telefilem Am'ma yang bakal ditayangkan di saluran TVOkey, esok.

Sangeeta Krishnasamy, 37, berkata, karya arahan Sabri Yunus itu begitu dekat di hatinya.

"Cerita ini sangat dekat di hati saya, sebab ia mengangkat hubungan antara seorang ibu yang tidak boleh bercakap, tidak berpelajaran tinggi disebabkan keadaan hidup dengan seorang anak yang tidak tahu 'sign language' yang inginkan kasih sayang ibunya dan bagaimana mereka mengatasinya melalui salah faham yang timbul.

"Dari segi persiapan fizikal, saya kurangkan makan dan tidur malam kurang dari biasa untuk watak itu," katanya.

Menurut Sangeeta juga pelakon filem Adiwiraku, dia sudah lama teringin bekerjasama dengan Sabri Yunus yang menyifatkan hasil kerjanya penuh kesenian, unik dan mendalam. 

"Apabila pertama kali dengar jalan cerita, saya berasa terharu yang Abang Sabri amanahkan kepada saya watak ini iaitu seorang ibu tunggal yang pekak dan bisu. 

"Jalan cerita ini sangat dekat kepada realiti hidup orang kurang upaya (OKU) yang tidak berkemampuan di luar bandar. Sewaktu menjalani penggambaran di Kuala Pilah, Negeri Sembilan saya juga melihat keadaan dan cabaran harian yang dilalui oleh anak muda di situ yang membuat saya lebih memahami situasi mereka," katanya.

Am'ma terbitan Dream At Work Sdn Bhd (DAW) mengisahkan konflik diantara seorang ibu OKU (pekak dan bisu), Devika lakonan Sangeeta dan anak perempuannya, Anju (Kashika) yang normal. 

Perhubungan mereka sentiasa tegang akibat masalah komunikasi yang tidak sempurna antara mereka. Namun, secara diam anaknya cuba dalam memahami ibunya dan mempelajari bahasa isyarat. Ibunya secara terangan tetap mencuba mendekati dan memahami jiwa anaknya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 1:10 PM