MI Do doakan kebahagiaan sahabatnya, Ye Jin.
MI Do doakan kebahagiaan sahabatnya, Ye Jin.
Georgie Joseph

Annyeonghaseyo! Dari set penggambaran ke undangan 'wedding of the year' rakan pelakon Son Ye Jin, Jeon Mi Do jelas tersentuh menjadi sebahagian daripada peristiwa paling indah dan bermakna itu.

Sebagai rakan karib yang sentiasa mendoakan kebahagiaan Ye Jin, Mi Do menitiskan air matanya di hari bahagia itu.

Malah, tarikh perkahwinan itu jatuh pada hari sama tayangan episod terakhir drama Thirty-Nine lakonan mereka berdua.

Menurutnya, dia yang berada di bilik menunggu pengantin merasakan suasana ketika itu begitu menjentik emosinya.

Bahkan, dia terasa seperti berada di set penggambaran pula kerana suasananya hampir sama dengan jalan cerita drama itu.

"Saya pergi ke bilik menunggu pengantin perempuan dan saya bersama Joo Hee (rakan pelakon) menangis. Rasanya seperti mengahwinkan seorang sahabat lama dari sekolah menengah lagi.

"Memang pelik, melihat dia (Ye Jin) dalam persalinan baju kahwin terus membuat air mata menitis. Dalam drama itu pun, saya mahu tolong Mi Jo (watak lakonan Ye Jin) untuk berkahwin.

"Pengantin sendiri pun pelik dan bertanya kenapa saya tiba-tiba menangis," katanya.

Mi Do turut berkongsi keakraban yang terjalin antara mereka terutama ketika menjayakan Thirty-Nine memang menyentuh hatinya.

Tanpa Ye Jin, dia dan seorang lagi pelakonnya Ji Hyun pasti kekok berlakon.

"Kami bersyukur Ye Jin sentiasa mengepalai kami. Memandangkan saya dan Ji Hyun tidak banyak sangat pengalaman berlakon, kami kurang tahu bagaimana hendak mencari dan lihat ke kamera.

"Kami akan bergantung kepada Ye Jin bagaimana melakukan itu dan ini. Saya rasa bersalah dan berterima kasih sebenarnya, namun ia memberikan kelebihan yang cukup untuk kami," katanya.

Dalam drama yang mengisahkan kehidupan wanita berusia, semestinya pasti ada cabaran tersendiri. Ini kerana barisan pelakonnya rata-rata berpengalaman hebat dan sudah disanjung tinggi.

Bagaimanapun, Mi Do tidak langsung terasa wujud persaingan siapa lebih bagus sepanjang penggambaran. Sebaliknya, dia gembira kerjasama yang terjalin antara mereka menjadi faktor penting drama itu lebih hidup.

"Tiada sesaat pun saya rasa kurang selesa ketika melakonkannya. Walaupun lama tidak berlakon dan Ji Hyun ternyata seorang pelakon yang sangat bagus. Demikian juga Ye Jin yang cukup baik hati, memang seronok sangat dikelilingi semua pelakon itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 8:08 AM