PARKGYU Young tak sangka dapat bawakan karakter seorang penakut dalam dramaIt’s Okayto Not Be Okay.
PARKGYU Young tak sangka dapat bawakan karakter seorang penakut dalam dramaIt’s Okayto Not Be Okay.
Norhayati Nordin

BAGI peminat drama Korea di negara ini, tentunya sangat tertarik dengan lakonan mantap dan berkesan dipersembahkan barisan pelakon drama It's Okay to Not Be Okay.

Apatah lagi, gandingan dua pelakon utama diminati ramai iaitu Kim Soo Hyun dan Seo Ye Ji yang berjaya membina keserasian tersendiri.

Namun, bukan hanya pada kalangan penonton yang masih rancak berbicara mengenai drama ini, tetapi salah seorang pelakonnya turut berkongsi pengalaman manis.

Aktres jelita, Park Gyu Young yang melakonkan watak Nam Ju Ri berkata, dia tidak sangka dapat melakonkan watak sebagai seorang jururawat itu dengan baik.

"Apa yang boleh saya ungkapkan mengenai watak itu, Nam Ju Ri adalah seorang yang penakut dan dia tidak disukai rakan sekerja kerana sikapnya.

"Nam Ju Ri suka bermain dengan emosi sendiri dan menyimpan terlalu banyak rahsia peribadi yang tidak mahu dikongsi dengan orang lain selain ibunya.

"Ini kerana, dia hanya melihat ibunya sahaja individu tunggal yang mampu menilai kejujuran dirinya. Manakala, orang lain akan ambil kesempatan," katanya.

Bagaimanapun, Park Gyu Young menyifatkan dia bertuah dapat membintangi drama It's Okay to Not Be Okay itu bersama barisan pelakon yang mantap.

Berbicara mengenai Seo Ye Ji, katanya pelakon itu sangat berbakat dan memiliki aura tersendiri yang mampu membuatkan orang lain kagum dengannya.

"Pertama kali, saya melihat dia (Seo Ye Ji) membaca skrip, orangnya baik dan tidak sombong. Dia yang mula menegur saya dan kami boleh cepat serasi.

"Ketika kami buat latihan bersama pula, dia berulang kali meminta pendapat saya. Justeru, saya melihat dia seorang yang suka berbincang dan boleh terima pandangan orang lain," katanya.

Ujar Park Gyu Young lagi, apabila melihat kejayaan besar diraih drama It's Okay to Not Be Okay yang berjaya menambat hati penonton, dia berasa pencapaian itu wajar.

Katanya semua pelakon sudah memberi komitmen dan kerjasama yang terbaik. Begitu juga dengan pengarah dan pasukan produksi drama ini.

Turut mengulas mengenai Kim Soo Hyun, katanya aktor yang menjadi tarikan ramai peminat wanita itu mempunyai bakat lakonan hebat.

"Saya sudah menonton beberapa drama lakonannya sejak dari awal pembabitan, ternyata Kim Soo Hyun menunjukkan perubahan yang matang pada setiap watak dijayakannya.

"Jujur diakui, saya berasa gementar untuk kami berlakon dalam satu drama yang sama. Tapi, saya kuatkan hati kena positif dan ambil peluang ini," katanya.

Sehubungan itu, Park Gyu Young mengakui dia tidak dapat menahan kesedihan teramat sangat ketika menonton episod terakhir drama berkenaan yang disiarkan saluran tvN pada 9 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 6:15 AM