Anis Nabilah
Anis Nabilah
Sudirman Mohd Tahir


 

Kuala Lumpur: Cef selebriti, Anis Nabilah dinobatkan Asean's Most Influential Chef pada Asean Food & Travel Awards 2022 yang berlangsung, kelmarin.

Anis Nabilah, 36, atau nama sebenarnya Anis Nabilah Umaruddin yang juga selebriti di bawah syarikat pengurusan Universal Music Malaysia berkata, dia berterima kasih kepada Tourism Malaysia kerana mempromosikan negara kita kepada dunia.

"Tahniah pada semua atas kerja keras dan usaha untuk mengembangkan industri ini, untuk negara kita, untuk Asean. Ia memerlukan semangat, pengorbanan dan daya tahan untuk berjaya dalam industri ini, terutamanya semasa pandemik, dua tahun lepas.

"Saya hanya boleh membayangkan perjuangan yang dilalui oleh sebahagian daripada mereka, tetapi bukan sahaja terselamat daripada wabak Covid-19, malah mereka juga berusaha. Saya 'salute' mereka.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga, rakan dan pasukan saya, Universal Music Malaysia, Celebrity 360, kerana sentiasa mempercayai saya dan menyokong semua matlamat dan impian saya, tidak kira betapa besarnya ia. Ini untuk anda semua," katanya.

Pada majlis itu, Anugerah disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab; Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Datuk N Subramaniam; Presiden Persatuan Eksekutif Makanan & Minuman Malaysia, Muhammad Hisham Tan Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif RHA Media, Datuk R. Rajendran; Editor Pengurusan RHA Media, Lee Seng Chee dan Pengarah Komunikasi Korporat, ASEAN Food and Travel, Puan Helis Muda.

Menurut Anis Nabilah yang sudah 14 tahun terbabit dalam bidang kulinari, dia bangga apabila melihat industri yang diceburinya ini semakin berkembang dan diminati ramai.

"Saya sering ditanya oleh wartawan, apakah pendapat saya mengenai orang yang bukan chef dan membuat kandungan memasak, dan jawapan saya selalu, saya gembira dan bangga melihat betapa besarnya industri ini berkembang jika mahu dibandingkan ketika saya mula-mula berada dalam bidang ini.

"Saya juga gembira saya terus bertahan kerana ia membuka begitu banyak pintu untuk saya. Saya berjaya menjelajah dunia untuk berkongsi resipi saya dan bertemu beberapa idola saya di beberapa acara masakan terbesar di dunia, seperti 'Worlds 50 Best Restaurant' dan 'Invite The World to Dinner' yang diadakan di Australia. Dan itulah kali pertama saya bertemu Heston Blumenthal (salah seorang chef terkemuka dalam gastronomi molekul). Bukan sahaja dapat jumpa dengannya, tapi dapat bersembang, bertukar-tukar pendapat dan pengalaman dengannya ," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 1:20 PM