Anis Nabilah pada Majlis berbuka puasa bersama chef selebriti, Anis Nabilah berkolaborasi bersama Secret Recipe di Secret Recipe Citta Mall, Ara Damansara. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Anis Nabilah pada Majlis berbuka puasa bersama chef selebriti, Anis Nabilah berkolaborasi bersama Secret Recipe di Secret Recipe Citta Mall, Ara Damansara. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Georgie Joseph


Petaling Jaya: Chef Selebriti Anis Nabilah, 36, bangga anak muda termasuk kanak-kanak sangat berminat memasak meskipun tujuannya sekadar untuk cipta kandungan di media sosial.

Anis atau nama sebenarnya Anis Nabilah Umaruddin berkata memang itulah impian yang ingin dikecapnya sejak memutuskan terjun serius dalam bidang kulinari sekitar lebih 15 tahun lalu.

"Sekarang, ramai orang termasuk kanak-kanak pun masak. Saya rasa bersyukur meskipun mungkin bukan disebabkan saya pun tapi sekurang-kurangnya sekarang orang sudah masuk dapur.

"Apa yang saya sasarkan sekarang sudah jadi. Orang sudah berminat tak kisahlah mereka masak depan kamera saja, sedap tak sedap, asalkan kemahiran itu ada," katanya ditemui pada majlis berbuka puasa Anis Nabilah dan Secret Recipe, di sini, semalam.

Mengimbau permulaan kariernya dulu, Anis akui dia memang bergelut memberi kesedaran serta tarik minat orang ramai mengenai pentingnya ada kemahiran memasak.

"Waktu buat rancangan TV pertama, sasaran saya adalah untuk menggalakkan orang masak. Golongan umur saya ketika itu tak suka masak. Waktu itu saya baru berusia 20 atau 21 tahun.

"Rata-rata anggap memasak adalah susah. Baik keluar pergi kedai makan. Yang sudah kahwin pun memilih untuk pergi makan dekat gerai murah, begitulah mentalitinya.

"Tapi, mentaliti saya lain. Saya nak ajar golongan seusia saya masak. Ini kerana ia adalah sebuah kemahiran survival," katanya.

Pengacara Kuali Bujang itu turut seronok melihat lambakan kandungan memasak wujud kini berbanding kemunculan dirinya dulu.

"Kemudian sekarang ini saya tengok semua orang suka masak. Jadi, saya rasa bangga kerana sebelum ini, sekurang-kurangnya ambil empat ke lima tahun baru wujud chef seusia saya.

"Kalau tak, hanya saya saja. Orang fikir kenapa nak kena belajar masak dengan saya? Golongan mak cik tak yakin dengan saya, orang muda malas masak," katanya.

Anis berkata kemahiran memasak juga pastinya sangat berguna apabila ditimpa musibah tak dijangka pada masa hadapan.

"Ambil saja iktibar sewaktu pandemik Covid-19. Kalau penghantaran makanan tak dibenarkan, bagaimana kita nak bertahan hidup? Semua orang, nak tak nak kena masuk dapur.

"Bila saya tengok semakin ramai cipta kandungan memasak, baguslah. Budak-budak, golongan 20-an, sekarang ada minat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 12:46 PM