Raja Ilya hamil anak pertama. Foto Instagram
Raja Ilya hamil anak pertama. Foto Instagram
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Raja Ilya berkongsi berita gembira mengenai dirinya yang kini hamil lima bulan hasil perkahwinan dengan suaminya, Trent Garret yang juga warga Australia.

Dalam hantarannya di Instagram, Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad yang menetap di Australia turut meluahkan kerinduannya kepada keluarga dan sahabat handai di Malaysia.

"Syukur Alhamdulillah. Ya, betul. Saya mengandung. Tak sabar sebenarnya nak kongsikan berita ini dengan semua. Oleh kerana masa dan situasi tak mengizinkan, kami cadang untuk kongsikan pada hari ini.

"Syukur, Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar seperti yang ditentukan oleh Yang Maha Esa. Kami gembira sangat di sini walaupun hati rindu nak balik Malaysia, balik Ipoh jumpa keluarga.

"Rindu nak jalani penggambaran dan berjumpa kawan-kawan. Sejujurnya, rasa rindu itu lebih daripada mengidam makanan semasa mengandung," tulisnya.

Dalam hantaran sama, Ilya turut meminta pengikutnya di platform media sosial itu untuk berkongsi tip yang bersesuaian bagi wanita mengandung.

"Memandangkan saya akan bersalin di Australia, saya harap ramai boleh kongsikan tip dengan saya. Satu lagi, dalam lima bulan kehamilan ini, saya belajar bahawa menjadi ibu bukanlah sesuatu yang mudah.

"Tapi pada masa sama, saya teruja dan bersyukur. Terima kasih atas ucapan, kasih sayang dan sokongan dari anda semua selama ini," tulisnya.

Untuk rekod, Ilya dan Trent selamat diijabkabulkan pada 23 Disember 2018.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 7:56 PM