Siti Elizad
Siti Elizad
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Selepas tular mengenai pendedahan dan laporan polis yang dibuat pelakon Siti Elizad mengenai individu bernama Zain Rashdan yang menghina dan mengaibkannya di media sosial, ramai rakan-rakan artis menyokong Elizad dan berkongsi mengenai keperibadiannya.

Pelakon, Fasha Sandha berkongsi mengenai pengalamannya yang menyaksikan sendiri amal ibadah yang dilakukan Elizad.

Fasha mempertikaikan tindakan individu yang menghakimi sama ada Elizad solat atau tidak.

"Saya saksi dia solat setiap hari di lokasi penggambaran. Empat bulan saya dengan dia jalani penggambaran.

"Pengikut kesayangan sentiasa mendoakan yang baik-baik buat Ijat (Elizad). 'Virtual hugs' daripada saya dan anak-anak. Kami doakan yang terbaik.

"Hello. Dia tak mandul, okay. Dia pernah hamil. Siapa buat ini baik mohon keampunan daripada tuan badan," tulisnya.

Pelakon, Nabila Huda juga menyokong tindakan Elizad yang mengambil tindakan undang-undang terhadap individu itu.

Menurut Nabila, Elizad ada hak untuk sedih dan marah.

"Teruskan! Selama ini asyik nak telan saja orang keji, fitnah, kutuk. Sekarang biar dia jawab di mahkamah nanti. Baru ada akal. Nanti mulalah drama kata tak mampu nak bayar saman, tak sengaja, tengah tertekan, nangis-nangis nak minta maaf," tulisnya.

Sementara itu, pelakon, Hafidz Roshdi juga berkongsi pengalamannya ketika menjalani penggambaran bersama pelakon itu.

"Saya cuma nak beritahu, semasa menjalani penggambaran dengan kak Elizad, setiap kali masuk waktu solat saja, mesti terserempak dengan dia.

"Dia sudah siap ambil wuduk dan bentang sejadah, siap sedia nak solat," tulisnya.

Di Instagram Elizad, ramai juga selebriti lain yang turut menyokong dan memberi kekuatan kepadanya antaranya Bella Astillah, Ummi Nazeera, Raja Ilya dan ramai lagi.

Terdahulu, isu ini timbul selepas individu itu menulis komen dan memuat naik hantaran di laman sosial berbaur hinaan terhadap Elizad dengan mengatakan pelakon itu sebagai wanita mandul dan tidak mengerjakan solat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 2:29 PM