MIMI Lana (kanan) menafikan dakwaan dia adalah anak kepada Din Glamour.
MIMI Lana (kanan) menafikan dakwaan dia adalah anak kepada Din Glamour.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon Mimi Lana, 28, menafikan dakwaan dia adalah anak kepada pengarah dan pelakon, Din Glamour yang kini dirawat di hospital.

Mimi atau nama sebenarnya, Mimi Roziana Zainal Abidin juga menyelar tindakan dibuat seorang pengguna TikTok yang cuba mengaitkannya dengan cerita tidak benar, sekali gus mencetuskan kekeliruan ramai.

"Walaupun saya tiada pertalian darah dengan abang Din (Din Glamour), tetapi saya doakan Allah SWT permudahkan segala urusannya.

"Semoga abang Din diberikan kekuatan, kesembuhan dan pulih seperti biasa. Mudah-mudahan, insya-Allah amin," katanya menerusi satu perkongsian dalam aplikasi X.

Pengurus Mimi, Iman Tang juga kesal dengan dakwaan tidak benar yang cuba disebarkan pihak tidak bertanggungjawab terhadap pelakon drama Masih Ada Rindu dan Hati Yang Tersakiti itu.

'Itu bukan bapa dia. Tak ada kena-mengena langsung dengan dia. Bapa orang itu (Mimi) lain. Takkan orang kata bapa dia Al Pacino kena percaya juga. Tak ada kena-mengena dengan dia pun.

"Siapa yang cakap itu, memang tak bijaklah. Takkanlah setiap nama orang yang disebutkan, kita senang saja nak percaya. Kenalah selidik betul-betul dulu," katanya kepada Harian Metro.

Semalam, Harian Metro melaporkan pengguna TikTok menerusi akaun I'm zheila yang memaparkan video Din Glamour sedang menerima rawatan tular dalam kalangan netizen apabila memuatkan juga gambar Mimi Lana. 

Ia sekali gus mencetus persoalan kaitan pertalian darah di antara mereka diperkatakan. Malah, ada segelintir netizen mendakwa Mimi ialah anak kepada Din Glamour walaupun nama sebenarnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin. 

Din Glamour atau nama sebenarnya Sallehuddin Ridzuan pernah berlakon filem-filem terbitan SV Production antaranya Mr Os, Awang Spanar dan Adik. Selepas itu barulah dia menceburi bidang pengarahan drama.

Din kini masih dirawat di Hospital Ampang akiba paru-paru berair dan sesak nafas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 12:18 PM