TEKAD usaha baiki kekurangan dalam lakonan, tidak mahu terikat watak pembantu saja.
TEKAD usaha baiki kekurangan dalam lakonan, tidak mahu terikat watak pembantu saja.
Norhayati Nordin


Hampir enam tahun berusaha membina nama dalam dunia lakonan, pencapaian Mimi Ernida, 26, masih belum berada pada tahap begitu membanggakan.

Bermula sebagai peserta program Gadis Melayu di TV9 pada 2010, Mimi sebelum ini menjadi perhatian apabila drama bersiri dibintangi, Rindu Awak 200% mendapat sambutan.

Melakonkan watak pembantu sebagai Daria rakan baik kepada Armel Aisyah lakonan Ayda Jebat, sedikit sebanyak membuatkan ada yang mengenali Mimi.

Mimi atau Nor Shamimi Ernida Mansor berkata, walaupun drama itu memperoleh jumlah tontonan tinggi dan semua bintang utamanya menyerlah tetapi rezeki untuknya memegang peranan utama dalam mana-mana drama belum lagi diperoleh.

Katanya, dia pernah menyimpan keinginan itu apabila melihat ramai pelakon baru dan muda daripadanya sudah mendapat peluang.

“Persaingan besar dalam kalangan pelakon baru menyebabkan saya sukar mendapat peluang, walaupun tidak pernah memilih watak.

“Bagilah apa saja watak, sama ada utama atau pembantu, saya terima dengan hati terbuka. Barangkali, mungkin belum rezeki saya jadi heroin.

“Mungkin peluang tidak datang kerana saya masih banyak kekurangan dalam lakonan. Apa juga yang berlaku saya tidak akan patah semangat dan berjanji berusaha untuk memperbaiki kekurangan dalam lakonan.

“Namun, sebagai pelakon saya mengharapkan suatu hari nanti bakat lakonan lebih menyerlah dan tidak terikat watak pembantu saja,” katanya.

Mimi yang baru selesai menjalani penggambaran drama Cinta Masam Manis sebanyak 24 episod untuk slot Akasia di TV3 berkata, dia bersikap positif.

“Semuanya bergantung pada rezeki. Bagaimanapun, saya bersyukur tawaran berlakon masih tak putus walau watak pembantu.

“Penting bagi saya memperoleh tawaran kerana bidang lakonan adalah karier sekali gus menjadi penyumbang pada pendapatan saya.

“Kalau saya nak fikir negatif dan mengeluh bimbang nanti saya tidak akan ke mana. Jadi, eloklah saya bersyukur dan yakin dengan perancangan terbaik sudah diaturkan Tuhan,” katanya.

Antara drama baru lain lakonan Mimi yang akan menemui penonton tidak lama lagi seperti Lip Lap Raya sebanyak 30 episod dan Cinta Tangkap Muat.

Berkongsi ceritanya sempena Ramadan bakal tiba, Mimi berkata untuk tahun ini dia bercadang tidak terlalu fokus menerima tawaran berlakon.

Mimi mahu mengisi masa terluang pada bulan Ramadan bersama keluarga di kampung.

“Saya anak sulung dalam keluarga, walau sibuk macam mana apabila tiba bulan puasa saya akan meluangkan masa bertemu ibu bapa.

“Tambahan pula kerana sibuk berlakon membuatkan saya sudah dua bulan tidak balik menziarah ibu bapa dan keluarga.

“Perasaan rindu pada keluarga di kampung sangat dirasai dan Ramadan lebih bermakna kerana kami sekeluarga dapat berkumpul,” katanya.

Tahun lalu Mimi berpeluang mengembangkan bakat lakonannya ke layar perak dengan membintangi filem Polis Evo arahan Ghaz Abu Bakar.

Filem menggandingkan Mimi dengan barisan pelakon hebat seperti Wan Hanafi Su, Shaheizy Sam, Zizan Razak dan Nora Danish itu berjaya mencatat kutipan pecah panggung RM17 juta.

Mengulas mengenai tawaran filem baru, Mimi berkata dia belum ada rezeki. Apa pun, sekarang dia selesa memberi tumpuan pada berlakon drama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2016 @ 5:03 AM