MISHA Omar (kiri) dalam sidang media, baru-baru ini.
MISHA Omar (kiri) dalam sidang media, baru-baru ini.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penganjuran program amal makan malam Bunga-Bunga Cinta Misha Omar, Charity & Fundraising Gala Dinner pada 19 Februari depan antara inisiatif bagi memulihkan kembali industri seni hiburan tanah air yang teruk terjejas dengan bantuan sektor korporat.

Pengarah Urusan The H Entertainments Sdn Bhd atau The H, Norazirah Abdul Talip selaku penganjur berkata, kutipan bagi jualan tiket serta sumbangan ini akan disalurkan kepada Persatuan Kebajikan Semerah Padi Perak (Persedim) dan Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (Papita).

"Sebagai langkah permulaan selepas dua tahun negara bergelut dengan pandamik Covid-19, The H mengambil langkah berani dengan menganjurkan program Bunga-Bunga Cinta Misha Omar, Charity & Fundraising Gala Dinner'.

"Program makan malam amal berkonsepkan 'black tie' ini ingin mengundang pihak korporat untuk turut sama menyumbang membantu meringankan beban kesan pandemik melalui pembelian meja khas pada acara ini. Kutipan bagi jualan tiket serta sumbangan ini akan disalurkan kepada Persedim dan Papita. "Untuk itu, The H berhasrat untuk kembali aktif menganjurkan semula program korporat dan program seni bagi memulihkan kembali industri seni hiburan tanah air yang sangat teruk terjejas dengan bantuan sektor korporat," katanya.

Program dan persembahan amal yang diadakan di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur itu bakal menampilkan artis hebat tanah air iaitu Misha Omar dan beberapa artis jemputan seperti Dafi AF dan Zarol Zarif AF.

Norazirah berkata, antara objektif lain program itu diadakan adalah bagi mendapatkan dana bagi menjalankan kerja kebajikan, membantu anak yatim, ibu tunggal dan golongan yang memerlukan.

"Jadi, kami menjemput syarikat korporat untuk membantu pertubuhan kebajikan mendapatkan dana bagi menjalankan kerja-kerja kebajikan, membantu anak yatim, ibu tunggal dan golongan yang memerlukan. "Selain itu menjemput sektor korporat untuk sama-sama memberi sokongan dan mencipta peluang supaya lebih banyak lagi program yang mana akan dapat menghidupkan kembali industri seni yang terkesan akibat Covid-19 selama dua tahun dengan penganjuran program seni dijalankan dengan lebih kerap.

"Dengan adanya peluang pekerjaan yang lebih kerap, ia dapat membantu anak seni seperti penyanyi, pelakon, pemuzik, jurukamera, penari, jurusolek artis dan sebagainya kembali mendapat peluang pekerjaan dan dapat meneruskan kelangsungan hidup," katanya.

Kategori pembelian meja untuk lapan kerusi adalah Platinum (RM25,000); Gold (RM20,000), Diamond (RM15,000); Ruby (RM10,000); dan Silver (RM5,000).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 12:15 PM