LINDA Nanuwil bawa melodi Sabah dengan penuh meriah.
LINDA Nanuwil bawa melodi Sabah dengan penuh meriah.
Georgie Joseph

SEBAIK panggung persembahan dibenarkan, Istana Budaya (IB) ternyata menjadi antara yang pertama membawakan konsert fizikal buat mengubat kerinduan penonton untuk berhibur.

Dianjurkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Konsert Rentak Kita yang berlangsung pada 22 dan 23 Oktober lalu nyata satu acara memuaskan.

Membariskan penyanyi hebat termasuk Datuk Andre Goh, Mus May, Siri Nordiana, Bob Yusof, Linda Nanuwil, dan Abis Syazwani, kesemuanya berjaya menghiburkan lebih 700 yang hadir untuk kedua-dua malam.

Lebih istimewa, persembahan mereka turut mendapat iringan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) di bawah pimpinan konduktor Yazid Zakaria.

Menurut Andre, dapat kembali beraksi dalam konsert fizikal benar-benar memberi kepuasan tersendiri. Beliau turut berterima kasih buat penonton yang hadir memberi sokongan.

DATUK Andre Goh pamer nyanyian lunak dengan lagu-lagu Melayu lama.
DATUK Andre Goh pamer nyanyian lunak dengan lagu-lagu Melayu lama.

"Selepas persembahan kini dibenarkan, tentunya ia satu perasaan yang cukup menggembirakan kami sebagai penyanyi. Saya sangat teruja berkongsi pentas dengan penyanyi hebat lain.

"Semoga penonton semua terhibur dan terubat rindu dengan persembahan kami. Harapnya kita akan dapat berhibur lagi dengan lebih banyak persembahan fizikal selepas ini," katanya.

Konsert pertama Istana Budaya bagi tahun ini itu menghimpunkan seleksi lagu Melayu, etnik, kreatif dan nusantara yang malar segar dalam empat fragmen selama dua jam.

Ia dimulakan dengan himpunan gema kompang, rebana, gendang, akordian, gambus serta seruling sehinggalah transisi alunan instrumen moden.

Andre tampil dengan persembahan cukup menggamit jiwa tradisional menerusi beberapa lagu warisan Melayu. Tampil bersahaja, alunan vokalnya tetap menawan dan lunak.

BOB Yusof gamatkan suasana dengan persembahan cukup kaya budaya dari Bunyi Kenyalang.
BOB Yusof gamatkan suasana dengan persembahan cukup kaya budaya dari Bunyi Kenyalang.

Disusuli Siti Nordiana, penyanyi itu pula tampil anggun dengan persalinan ala puteri Melayu lama. Menyanyikan lagu antaranya Puteri Ledang, lenggok tradisional pada nyanyiannya cukup mengagumkan.

Paling menggamatkan suasana tentunya persembahan Bob sewaktu fragmen Belagu Etnik dengan lagu Tandang Bermadah. Dimulakan dengan muzik sape, melodi Bunyi Kenyalang bergema penuh indah sewaktu persembahannya.

Tidak ketinggalan, Linda pula membawa nuansa melodi Sabah menerusi lagu Original Sabahan dan Sumandak Sabah. Rentak tari sumazau serta muzik budaya pelbagai etnik Sabah yang lain begitu memukau.

Cukup dinantikan, penyanyi rock Mus pula memberi keadilan kepada lagu Sendiri dan Biru Mata Hitamku yang digubah kepada melodi nusantara. Penonton ternyata puas apabila nyanyiannya begitu bersatu dengan gubahan itu.

Manakala, Anis Syazwani tidak mengecewakan dengan persembahan penuh keayuan dan lemah gemalai. Mereka ternyata tidak kurang hebatnya dengan penyanyi ternama di acara itu.

Konsert Rentak Kita dipentaskan IB dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC). Ia bertujuan memartabatkan muzik tradisional agar nilai estetika irama ini kekal kompetitif dalam industri muzik tanah air.

Konsert terbabit dipentaskan di Panggung Sari percuma kepada orang ramai. Tempat duduk terhad berdasarkan kapasiti dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

SITI Nordiana
SITI Nordiana

MUS May
MUS May

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 6:21 AM