SINGLE OY pertaruhan tiga jejaka.
SINGLE OY pertaruhan tiga jejaka.
Zaara Talita

BERSANDARKAN wajah tampan dan populariti di media sosial, tiga anak muda berbakat iaitu Razmansyah, Afiq Adnan dan Nidza Afhan bergabung suara menerusi single berjudul OY.

Mempunyai nada suara yang berbeza, komposer terkenal Sharon Paul yakin dengan keunikan vokal masing-masing yang dianggap mempunyai harmoni.

Mempertaruhkan single bergenre balada pop ia mengetengahkan elemen lagu rakyat diberi nafas baharu yang lebih segar.

"Komposer, Sharon Paul bertanggungjawab menemukan kami bertiga. Dia memaklumkan hasratnya untuk mencipta lagu untuk kami. Pelawaannya itu kami terima dengan hati terbuka.

"Rakaman dibuat di Studio Musicwerk dan memakan masa kira-kira tiga bulan. Sejujurnya, kami jarang menyanyikan lagu rancak, tapi kami sahut cabaran ini dan cuba sampaikannya dengan baik.

"Kerjasama dengan komposer hebat seperti Sharon Paul dan Ezra Kong adalah pengalaman berharga buat pendatang baharu seperti kami," kata Nidza.

Berkongsi

mengenai mesej dalam lagu OY, Afiq berkata ia menceritakan kisah kesetiaan kekasih yang berusaha sedaya upaya untuk mengahwini pasangannya.

"OY adalah singkatan bagi Only You. Lagu ini menceritakan mengenai seorang lelaki yang berusaha mengumpul duit untuk mengahwini teman wanitanya. Lagu ini juga membawa maksud apresiasi yang mendalam terhadap wanita secara amnya," katanya.

TRIO ini (dari kiri) Razmansyah, Afiq dan Nidza memilih tidak mempunyai nama kumpulan kerana ingin dikenali secara individu melalui identiti masing-masing.
TRIO ini (dari kiri) Razmansyah, Afiq dan Nidza memilih tidak mempunyai nama kumpulan kerana ingin dikenali secara individu melalui identiti masing-masing.

Sementara itu, berkongsi mengenai video muzik, Razmansyah menjelaskan penceritaannya boleh dikaitkan dengan percintaan orang ramai dan pada masa yang sama mereka turut mencabar diri untuk menari.

"Jalan ceritanya mengenai tiga rakan sekerja yang pernah mencintai perempuan yang sama. Satu hari, perempuan itu hadir dengan teman lelaki baharu.

"Antara kelainannya adalah kami bertiga menari dalam video muzik ini. Bayangkan, kami tidak pernah ada asas tarian. Itu antara momen yang tidak dapat kami lakukan," katanya.

Dalam pada itu, mereka mengakui sebagai penyanyi baharu sudah tentu sukar untuk mendapat tempat di hati peminat.

Namun itu tidak mematahkan semangat tiga penyanyi ini untuk terus memberi sumbangan kepada industri hiburan.

"Semoga trio ini mendapat sambutan yang baik melalui single OY daripada penggemar muzik Malaysia dengan lebih banyak kolaborasi pada masa akan datang.

"Sebagai penyanyi baharu, kami berharap single OY mendapat sambutan yang baik dan semoga permulaan 2022 ini menjadi titik mula kami menempa nama dalam industri muzik Malaysia," kata Razmansyah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 6:25 AM