HUSADEE antara bakat seni baru yang berjaya mencipta nama di Sandakan, Sabah.
HUSADEE antara bakat seni baru yang berjaya mencipta nama di Sandakan, Sabah.
Najiy Jefri

SIAPA sangka, tiga sahabat karib yang memiliki minat sama dalam dunia nyanyian akhirnya bergabung sebagai satu band atau trio yang diberi nama Husadee.

Mengambil pangkal nama awal setiap anggota kumpulan yang terdiri daripada Hud (Hud Lufti), Sam (Syamsir) dan Dee (Rosdee), Husadee berjaya melangkah setapak dan tekad mencipta nama dalam persada seni hiburan.

Apa yang menarik, trio kelahiran Sandakan, Sabah ini tertubuh atas cadangan dan konsep yang dicetuskan oleh komposer terkenal, Julfekar ketika mereka bertemu di Kota Kinabalu tahun lalu.

Bertitik tolak dari situ, Husadee kini muncul dengan album pertama berjudul Tanpa Alasan.

Hud berkata, album yang mengandungi 10 lagu itu diterbitkan sepenuhnya oleh Julfekar.

"Alhamdulillah, kami dapat bekerjasama dengan Julfekar untuk penerbitan album sulung. Julfekar yang datang dengan idea

untuk menggabungkan kami sebagai trio, jadi lahirlah Husadee. Secara peribadi, saya sendiri adalah peminat karya Julfekar dan isterinya, penyanyi Min Yasmin.

HUSADEE dianggotai oleh tiga rakan karib  Hud (dari kiri), Sam dan Dee.
HUSADEE dianggotai oleh tiga rakan karib Hud (dari kiri), Sam dan Dee.

"Apabila dapat peluang ini, saya rasakan bagai mimpi dan seperti bulan jatuh ke riba. Saya berharap album Tanpa Alasan menjadi langkah permulaan kerjaya kami dalam industri muzik," katanya.

Menurut Sam, album Tanpa Alasan memuatkan sebuah lagu trio nyanyian mereka dan setiap mereka menyanyikan tiga lagu secara solo.

"Kami bergabung suara dalam lagu berjudul Kerana Aku Selalu Rindu. Baki sembilan buah lagu lagi kami nyanyikan secara solo, seorang menyanyikan tiga buah lagu.

"Apa yang istimewanya ialah selain lagu berbahasa Melayu, kami merakamkan lagu bahasa lain. Hud merakamkan lagu Bajau, Dee merakamkan lagu Suluk dan saya pula merakamkan lagu Tagalog," katanya.

Dalam pada itu, Dee berkata, dia berharap kehadirannya dalam industri muzik dapat memberikan sesuatu yang positif untuk peminat.

"Konsep trio jarang ditampilkan dalam industri muzik Malaysia, jadi kami berharap kehadiran kami dapat memberikan impak positif terhadap penggemar muzik.

"Semoga dengan kehadiran album terbitan Julfekar Music ini dapat memeriahkan lagi industri muzik yang dua tahun agak sepi akibat wabak Covid-19, Insya-Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 6:30 AM