AYU Damit
AYU Damit

Najiy

Kuala Lumpur: Penyanyi, Ayu Damit akan mengambil sikap lebih berhati-hati dalam soal pemilihan pakaian ketika mengadakan persembahan selepas menerima teguran daripada netizen yang 'sakit mata' melihat penampilannya pada majlis pelancaran sebuah produk, baru-baru ini.

Ayu atau nama sebenarnya Norayu Damit, 33, berkata, dia tidak berkecil hati dengan setiap teguran yang diberikan netizen.

"Saya adalah individu yang menerima segala teguran dengan berlapang dada kerana dapat membantu diri saya menjadi lebih baik.

"Selagi ia tidak mengaibkan saya dan keluarga, saya boleh terima. Lagipun biasalah kita sebagai manusia tak lari daripada melakukan kesilapan. Disebabkan teguran ini juga saya kini lebih berhati-hati dalam soal pemilihan pakaian untuk menghadiri majlis persembahan ataupun pergi ke mana-mana. Bukan fobia atau takut tapi saya nak jadi lebih baik," katanya.

Menurut Ayu, sebagai wanita yang kini bertudung, dia juga enggan memberi tanggapan buruk kepada orang luar.

"Kadang-kadang saya fikir apa yang saya pakai pada sesuatu acara itu sudah cukup sopan, tapi hakikatnya ia mengundang rasa kurang selesa.

"Jadi sekarang ini saya kerap bertanya kepada suami serta rakan-rakan terdekat sebelum memilih untuk menggayakan sesuatu pakaian itu.

"Saya tidak mahu wanita bertudung dicop atau dilabel dengan perkataan yang tidak elok. Sebolehnya, saya nak imej saya memberi inspirasi kepada wanita lain untuk berasa selesa," katanya.

Terdahulu, tular video pelantun lagu Hanya Di Mercu itu memakai seluar ketat ketika mengadakan persembahan untuk pelancaran sebuah produk baru-baru ini hingga mengundang pelbagai kecaman daripada orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 3:38 PM