Ayu Damit
Ayu Damit
Zaara Talita

 

Kuala Lumpur: Penyanyi, Ayu Damit terkilan dengan sikap segelintir warganet yang melabelkan golongan artis dan selebriti sebagai beruk.

Ia susulan kenyataan Ayu dalam sebuah portal hiburan yang belum bersedia untuk memberikan vaksin Covid-19 kepada anak-anaknya.

Ayu atau pemilik nama penuh, Norayu Damit, 32, menegaskan, golongan artis juga manusia dan tidak seharusnya disamakan dengan binatang biarpun mempunyai pemahaman dan pendapat berbeza.

"Artis pun manusia, kalau awak kata kami beruk, habis tu awak siapa? Kawan-kawan semua, ada tak yang turut menerima hinaan dan komen sebegini? 

"Saya dan suami bukanlah anti vaksin. Kami pun sudah mempunyai dua dos lengkap vaksin Covid-19. Saya sendiri tidak pernah mengeluarkan kenyataan menghalang anak-anak untuk tidak mendapat suntikan," katanya.

Menerusi hantaran di Instagram Story, Ayu turut menyelar sikap warganet yang hanya suka membaca tajuk tanpa mengetahui isi kandungan artikel berkenaan.

"Apa kata sebelum membuat keputusan melulu, baca isi kandungan artikel terlebih dahulu. Anak saya mempunyai antibodi lemah, jadi jika berlaku apa-apa anda hendak tanggung ke?

"Jika ada apa-apa berlaku pasti anda menyalahkan takdir, namun sebagai ibu saya ingin membuat ujian kesihatan terlebih dahulu sebelum memberikan vaksin kepada anak-anak. Ini adalah langkah berjaga-jaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 3:36 PM