Pertukaran kepada nama sebenar buat Ayu Damit tidak dikenali. Foto Instagram
Pertukaran kepada nama sebenar buat Ayu Damit tidak dikenali. Foto Instagram
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI, Ayu Damit mengakui sukar dikenali sejak dia menggunakan nama itu berbanding dahulu, Ayu One In A Million (Ayu OIAM).

Ayu atau Norayu Damit, 29, berkata, banyak pihak tertanya-tanya siapa 'Ayu Damit' setiap kali dia muncul dalam acara hiburan atau dicadangkan untuk menjayakan persembahan.

"Diakui gelaran juara OIAM banyak mengubah hidup saya. Malah, saya mencipta nama menerusi program ini. Namun, selepas bertahun menggunakan nama berkenaan, saya ambil keputusan tukar kepada nama sebenar sesuai dengan imej baru bertudung.

"Namun, entah di mana silapnya orang susah nak kenal saya dengan nama ini. Seolah-olah ia terlalu asing. Kalau cakap Ayu OIAM, baru mereka tahu. Sedangkan saya masih orang sama.

"Malah, kalau menghadiri sebarang acara mereka lebih suka memanggil saya dengan Ayu OIAM. Saya okey saja dengan nama itu, tetapi buat masa sekarang saya selesa dengan nama sebenar. Takkan saya nak tukar nama lagi kan?" katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Ayu beranggapan antara punca orang lambat menyedari kewujudannya adalah sikap sendiri yang tidak konsisten dalam industri hiburan.

"Diakui selepas berkahwin dan memiliki anak saya senyap selama beberapa tahun. Saya banyak fokus kepada perniagaan.

"Selepas kembali aktif, saya mulai menerima tawaran menjayakan persembahan. Alhamdulillah, setiap hujung minggu jadual kerja saya sibuk. Saya menyanyi di semua acara dan tidak pernah berkira.

"Disebabkan tidak ada lagu baru dan jarang muncul di kaca TV orang beranggapan saya sudah tidak menyanyi. Insya Allah, kalau ada rezeki saya merancang menghasilkan lagu baru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 11:41 AM