GAMBAR terakhir Ayu bersama bapanya.
GAMBAR terakhir Ayu bersama bapanya.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Bapa penyanyi Ayu Damit iaitu Damit Osiri, 72, meninggal dunia di kediamannya di Kota Kinabalu, Sabah, akibat kanser otak tahap empat kira-kira jam 2 petang, hari ini.

Ayu, 32, atau nama sebenarnya Norayu Damit berkata, kanser berkenaan sudah merebak ke bahagian paru-paru Allahyarham bapanya.

"Saya baru sampai di rumah (Kota Kinabalu) menaiki penerbangan jam 11 pagi tadi. Kalau ikutkan nak balik semalam, tapi sudah tidak ada penerbangan. Ketika itu saya dimaklumkan ayah sudah nazak.

"Malah, sepanjang lima hari sebelum itu pun difahamkan ayah sudah tidak buka mata. Cuma terakhir semalam dia cakap nak sangat tengok saya.

"Semalam juga saya pergi buat ujian saringan Covid-19. Saya berharap sangat dapat jumpa dan jaga ayah walaupun hanya sekejap. Alhamdulillah, saya sempat melihat dan bersamanya buat kali terakhir tadi," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ayu, kali terakhir dia berjumpa bapanya itu pada Mac lalu.

"Sebelum Ramadan saya ada pulang ke sana. Sempat juga buat kenduri doa selamat. Ketika itu nampak ayah sihat saja. Saya cakap nak pulang sambut Aidilfitri bersama mereka. Malangnya, kerajaan umumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pula. Jadi, tak dapatlah nak balik.

"Terima kasih kepada semua yang selama ini mendoakan ayah saya selama ini. Semoga ayah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

"Terima kasih atas segala jasa mu ayah yang selama ini memelihara dan menyanyangi dari kecil hingga ke saat terakhir mu. Saya berharap suatu hari kita akan berjumpa di syurga nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 3:45 PM