AYU Damit.
AYU Damit.
Sudirman Mohd Tahir

Perjalanan karier juara program One In A Million 2 (OIAM2), Ayu Damit tidak seindah penyanyi lain.

Apatah lagi, selepas 11 tahun dalam bidang ini, kewujudan Ayu seakan dipandang sepi.

Namun begitu, Ayu atau Norayu Damit, 29, tidak pernah patah semangat. Sebaliknya, dia terus gigih menghiburkan peminat dalam apa jua majlis.

Kata Ayu, dia tidak pernah memilih jenis acara, jauh sekali berkira soal harga.

Bagi Ayu, setiap tawaran adalah rezeki untuknya.

“Alhamdulillah, dalam pada peminat lebih terarah kepada penyanyi baru, saya masih ada tawaran menyanyi. Setiap hujung minggu jadual saya agak padat.

“Walaupun majlis berkenaan tidak sehebat penyanyi lain, saya berterima kasih kepada penganjur yang menjemput saya.

“Majlis hari jadi, orang kahwin atau apa saja, saya okey. Saya tidak memilih, asalkan ada kelapangan.

“Mengenai bayaran, setakat ini masih setimpal dengan kerja.

“Kalau penganjur dalam kalangan rakan industri, saya tidak berkira. Kalau kebetulan sibuk, saya beri kepada penyanyi lain,” katanya.

Ayu mengakui punca namanya tenggelam disebabkan tidak konsisten dalam bidang nyanyian.

“Salah saya juga kerana tidak konsisten dalam industri. Selepas menjuarai OIAM, saya banyak menyepi.

“Mungkin disebabkan tidak komited dengan dunia nyanyian, saya kurang dikenali. Jadi, sekarang orang tertanya-tanya siapa saya.

“Cuma, kalau ada yang panggil Ayu OIAM baru mereka kenal. Perkara itu sedikit-sebanyak beri kesan, cuma tidak mengganggu periuk nasi.

“Biarlah peminat secara perlahan-lahan mengenali saya dengan nama Ayu Damit,” katanya.

Ayu yang kini sibuk menguruskan ladang kelapa dan cili padi merancang menerbitkan single baru dalam masa terdekat.

Namun, Ayu tidak mahu terburu-buru kerana bimbang kualitinya tidak mencapai piawaian yang diharapkan seperti lagu sebelum ini.

“Sebenarnya, saya sudah merakamkan sebuah lagu namun tidak berpuas hati dengan hasilnya.

“Jadi, saya tangguhkan dahulu pelancaran single berkenaan. Jika diberi kesempatan, saya mahu rakamkan semula lagu itu dengan susunan muzik baru,” katanya.

Dalam masa sama, Ayu turut meluahkan hasrat untuk bekerjasama semula dengan komposer yang pernah menerbitkan album pertamanya, Inspirasi.

“Saya masih menyukai lagu yang ada dalam album berkenaan. Kalau boleh, saya mahu bekerjasama dengan Aubrey Suwito dan Azlan Abu Hassan.

“Bagi saya, mereka mempunyai sentuhan tersendiri dalam pembikinan lagu dan memahami vokal saya sebagai penyanyi,” katanya.

Perkembangan lain, Ayu bakal terbabit dalam persembahan Majlis Makan Malam A Night Of Hope Nadi yang akan diadakan di Hotel Palace Of The Golden Horses, Sabtu ini.

Menariknya, Ayu bakal berkongsi pentas dengan dua penyanyi kegemarannya, Nourul Depp dan Liza Hanim.

Majlis terbabit anjuran National Diabetes Institute (Nadi), iaitu sebuah badan bukan kerajaan yang memberi kemudahan rawatan kepada pesakit diabetes.

“Selama ini, saya tidak pernah berjumpa dengan Liza Hanim. Jadi, majlis ini saya anggap istimewa kerana dapat berkongsi pentas dengannya.

“Dalam masa sama, ia adalah majlis amal untuk kanak-kanak yang menghidap diabetes. Jadi, saya ambil kesempatan ini untuk melakukan kerja amal sambil menghiburkan mereka yang hadir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 4:22 AM