JANNA Nick. FOTO arkib NSTP
JANNA Nick. FOTO arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Sebagai syarikat rakaman, penting untuk kami menjaga kesihatan mental artis kami," kata Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy mengenai masalah gangguan bipolar dihidapi Janna Nick yang juga artis di bawah syarikat rakaman itu.

Darren berkata, ini bukan kali pertama Warner Music Malaysia berurusan dengan artis yang berdepan situasi kesihatan mental seperti Janna.

"Dulu, kami pernah ada artis yang kemurungan. Isu kesihatan mental adalah isu besar dan sekiranya tidak diuruskan dengan cara yang betul, ia boleh menjadi parah.

"Untuk Janna, pihak kami nampak kesungguhannya untuk kembali berkarya sebagai penyanyi selepas pernah muncul dengan single sebelum ini. Janna adalah artis yang serba boleh dan memiliki pelbagai bakat," katanya.

Ditanya mengenai tugas dan tanggungjawab Warner Music Malaysia sekiranya Janna sekali lagi terpalit dengan kontroversi, Darren berkata, menjadi tanggungjawab pihaknya untuk memberikan nasihat.

"Sebagai syarikat rakaman yang juga menguruskan kerjaya muziknya, kami akan berikan nasihat sekiranya dia terpalit dengan kontroversi.

"Kadang-kadang, artis hanya nampak satu perspektif. Jadi, kami akan bantu jelaskan kepadanya dari perspektif berbeza dan apa kesan daripada sesuatu tindakan. Namun, saya tak nafikan ada artis yang terima dan ada kalanya tidak," katanya.

Janna kini sudah merakamkan single barunya bersama Warner Music Malaysia dan dijadualkan bakal melancarkannya pada Julai atau Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 4:58 PM