DINI Schatzman dan Janna Nick.
DINI Schatzman dan Janna Nick.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Dini Schatzmann mengakui pernah diceritakan mengenai insiden cubaan bunuh diri oleh kekasihnya yang juga pelakon popular, Janna Nick.

Dini, 27, atau nama sebenarnya Dini Azan Schatzmann berkata, dia juga selalu melihat Janna berada dalam keadaan tertekan.

"Dia memang pernah cakap ada cuba nak bunuh diri. Ia berlaku sebelum kami bercinta. Dia cerita sebab mahu berkongsi apa yang pernah berlaku dulu.

"Saya juga selalu nampak dia dalam keadaan tertekan. Cuma, baru-baru ini apabila dia berasa lain, dia pergi berjumpa pakar psikiatri bagi mendapatkan pandangan mengenai apa yang dialami. Kemudian dia disahkan ada gangguan bipolar.

"Sebagai kekasih, saya hanya mampu memberikan sokongan moral, kata-kata positif dan semangat. Memandangkan dia masih perlu mengambil ubat, jadi ia membantu dirinya," katanya kepada Harian Metro.

Dini yang juga pelakon drama Marry Me Senorita berkata, tindakan Janna senyap seketika di media sosial baru-baru ini adalah keputusannya sendiri.

"Apa yang susahnya adalah orang yang sihat seperti saya untuk faham apa yang dia alami. Disebabkan itu dia memang perlukan bantuan pakar. Selain memberikan kata-kata semangat, saya layan dia seperti biasa. Tapi, kena sentiasa ingatkan dia jangan terlalu fikirkan sangat perkara kecil. Apabila dia senyap di media siosial, itu dia memang rasa nak ambil masa untuk diri sendiri. Dia nak rehat dari media sosial. Sekarang dia sudah kembali, sebab itu sebahagian daripada kerja dia. Dia boleh uruskan lagi, cuma dari semasa ke semasa kena sentiasa ingatkan juga," katanya.

Terdahulu, Janna yang juga pengacara Melodi mengejutkan ramai pihak apabila berkongsi mengalami masalah kesihatan mental iaitu gangguan bipolar selepas senyap seketika dari media sosial.

Janna berkata, dia kini bergantung pada ubat anti kemurungan sejak seminggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 10:03 AM