Zaara Talita

Kuala Lumpur: "Suami memberi tempoh kepada saya selama dua tahun untuk berpegang kepada pendirian untuk tidak menerima vaksin Covid-19, namun akhirnya saya akur dengan perintah suami."

Demikian kata pelakon Ellie Suriaty Omar yang mengakui sudah lengkap mengambil suntikan vaksin jenis Sinovac yang pertama pada Oktober dan kedua pada November tahun lalu. 

Ellie menjelaskan dirinya bukan antivaksin sebaliknya memerlukan masa untuk membuat kajian berhubung vaksin yang diberikan bagi mengekang virus berbahaya itu. 

"Biar saya jelaskan, setiap individu mempunyai hak untuk membuat pilihan. Saya bukan antivaksin sebaliknya membuat kajian sebelum mengambil mana-mana suntikan. Ya, saya sudah lengkap vaksinasi. Saya ambil suntikan pertama vaksin jenis Sinovac pada penghujung Oktober tahun lalu dan kedua pada November tahun lalu. 

"Masing-masing ada cara tersendiri untuk mencegah diri daripada wabak itu. Sepanjang tak ambil vaksin, saya menggunakan langkah pencegahan supaya tidak dijangkiti. Berhubung soal anak-anak pula, kami mengamalkan kebebasan untuk bersuara di rumah. Saya tidak memaksa mereka mengambil vaksin dan juga tidak menghalang. Terpulang kepada mereka apabila membuat keputusan untuk turut divaksinasi," katanya kepada Harian Metro. 

Sebelum ini Harian Metro melaporkan Ellie dan dua anak mereka yang berusia 17 serta 12 tahun enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 atas sebab keselamatan dan kesihatan.

Manakala suami Ellie iaitu Azri Iskandar terpaksa berbohong bagi mendapatkan suntikan vaksin demi menjaga keharmonian rumah tangga mereka.

ELLIE Suriaty.
ELLIE Suriaty.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 6:06 PM