BERNAMA

Bangkok: Timbalan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul menjadi individu pertama di negara itu disuntik dengan vaksin Covid-19 Sinovac yang diterbangkan dari China.

Anutin yang juga Menteri Kesihatan Awam dan empat menteri kabinet menerima suntikan itu di Institut Penyakit Berjangkit Bamrasnaradura di wilayah Nonthaburi hari ini, untuk meningkatkan keyakinan kepada rakyat mengenai keberkesanan vaksin itu.

Beliau disuntik oleh profesor perubatan dalam hepatologi pediatrik, Fakulti Perubatan Chulalongkorn University, Dr Yong Yong.

Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha yang menyaksikan peristiwa bersejarah itu tidak mengambil suntikan itu berikutan usianya tidak termasuk dalam lingkungan usia penerima yang layak menerima vaksin itu iaitu antara 18 hingga 59 tahun.

"Hari ini menjadi sejarah permulaan vaksinasi Covid-19.

"Saya harap Thailand akan menerima bekalan vaksin mencukupi secepat mungkin sekali gus dapat memulihkan ekonomi kita," kata Prayuth.

Sementara itu, seramai 159 petugas kesihatan, media, anggota polis, pegawai imigresen dan kerajaan tempatan menerima suntikan pertama di Hospital Samut Sakhon hari ini.

Rabu lalu, Thailand menerima 200,000 dos pertama vaksin Sinovac serta 117,000 lagi vaksin Oxford-AstraZeneca.

Menteri Kesihatan Awam berkata, vaksin Sinovac diedarkan kepada 13 wilayah berisiko tinggi termasuk Bangkok dengan sasaran fasa pertama suntikan membabitkan petugas barisan hadapan dan golongan berisiko tinggi.

Petugas hospital menyusun keranda di Hospital Thammasat di Pathum Thani bagi pengurusan mayat pesakit Covid-19. FOTO AFP
Petugas hospital menyusun keranda di Hospital Thammasat di Pathum Thani bagi pengurusan mayat pesakit Covid-19. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 3:44 PM