Michael Ang
Michael Ang
Zaara Talita


Kuala Lumpur: "Tak timbul istilah tamak atau memperbodohkan diri. Ini kerana selepas dengar sehingga habis, sedap juga suara saya."

Itu kata penerbit, pengarah dan pelakon, Michael Ang, 45, yang bersedia menerima kritikan peminat muzik tanah air apabila melancarkan single sulungnya berjudul Cinta Atau Propa, hari ini.

Bagaimanapun, penerbit drama The Hotel yang dikenali sebagai individu yang cukup lantang bersuara dan memberi kritikan itu juga tidak menafikan kekurangannya dalam nyanyian.

Michael berkata, itu menjadi prinsipnya untuk tidak memberi kritikan keterlaluan kepada mereka yang bekerja dalam bidang yang sama dengannya.

"Ada tiga perkara berada dalam senarai impian saya dan salah satunya adalah menyanyi. Saya mencabar diri untuk tampil dengan lagu ini kerana ingin keluar dari zon selesa dan cuba sesuatu yang baru.

"Saya terus bersetuju sebaik menerima tawaran ini kerana ketika itu saya sedang berada dalam keadaan tertekan. Empat bulan lalu pelbagai perkara berlaku bertubi-tubi sehingga memberi kesan terhadap kesihatan mental saya," katanya dalam sidang media pelancaran lagu itu yang diadakan secara maya, hari ini.

Michael berkata, lagu Cinta Atau Propa dihasilkan khas buat mereka yang menikamnya bertubi-tubi selepas kepercayaan yang diberikannya.

"Ia juga buat seseorang dalam kehidupan peribadi saya. Siapa yang makan cili, pasti akan terasa pedasnya. "Jadi kepada anda di luar sana yang berhadapan situasi yang sama, lakukan perkara yang membuatkan anda gembira," katanya.

Lagu dan lirik Cinta Atau Propa adalah hasil ciptaan Killa Driz dan diterbitkan Hafiz Hamidun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 5:08 PM