KILLA Driz anggap perjalanan seninya mewujudkan keterujaan dalam diri.
KILLA Driz anggap perjalanan seninya mewujudkan keterujaan dalam diri.
Najiy Jefri


HAMPIR setahun bergerak secara rasmi ke dalam dunia seni arus perdana, nama Killa Driz mungkin masih baharu bagi sebilangan besar peminat hiburan.

Namun untuk 'underground scene', lagu-lagu nyanyiannya mendapat sambutan baik dan sudah mengumpul peminat tersendiri.

Meskipun sudah 'berhijrah', dia gembira apabila masih mengekalkan bunyi 'underground' seperti mana sudah diperjuangkan pemuda ini sejak berusia 15 tahun lagi.

"Dulu memang ada yang mengatakan pemuzik 'underground scene' yang mahu ke mainstream (arus perdana) perlu menukar bunyi untuk diterima. Bagi saya perkara berkenaan mungkin benar atau mungkin juga tidak, bergantung kepada rezeki.

"Pendengar boleh saja menerima apa jenis muzik asalkan mereka suka dan lagu itu kena dengan mereka. Dunia sudah berubah dan orang boleh menerimanya," kata Killa Driz yang kini berusia 22 tahun.

Meskipun ramai rakan-rakan seangkatan dengannya masih mahu kekal dalam 'underground scene', dia menganggap perkara terbabit adalah satu kebiasaan memandangkan masing-masing mempunyai strategi untuk kekal relevan dalam memasarkan muzik mereka.

Sejak melancarkan lagu Siapa Tahu pada Mac lalu, Killa Driz menganggap perjalanan yang dilaluinya penuh warna warni. Transisi perubahan kini dilalui olehnya dengan penuh keterujaan.

"Untuk diterima ramai bukan satu perkara yang mudah memadangkan saya perlu dilihat berbeza, perlu ada kelainan untuk diterima ramai sementelah industri muzik kita ini kecil.

"Tidak dinafikan banyak saingan daripada 'rapper' baharu yang muncul, jadi saya perlu cari kelainan. Apa yang paling penting sikap perlu dijaga memandangkan tidak semua orang menerima kita kerana produk saja.

"Ada orang melihat peribadi juga. Daripada peribadi barulah mereka mengenal lagu dan sebagainya," katanya yang sudah menghasilkan lagu Siapa Tahu, Sedar Ku, Kena Sidai dan Berserah.

Bercerita mengenai perkembangan terbaharunya pula, Killa Driz gembira apabila lagu Berserah gandingannya bersama Sabbala, A-Kid dan LastKhalif menjadi runut bunyi untuk drama Tikam yang mula ditayangkan Astro Ria, baru-baru ini.

Drama yang menggandingkan Fahrin Ahmad, Ben Amir, Intan Najuwa, Micheal Ang itu disiarkan jam 9.30 malam. Justeru, Killa Driz berharap drama dan lagu tema nyanyiannya akan mendapat sambutan penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 6:20 AM