MICHAEL ANG
 MICHAEL ANG
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pengarah dan pelakon, Michael Ang menolak untuk berjumpa dengan penyanyi, Noraniza Idris walaupun penyanyi lagu Dikir Puteri itu meluahkan hasratnya untuk bersemuka.

Michael ketika dihubungi berkata, pertemuan itu tidak akan memberikan sebarang manfaat lebih-lebih selepas Noraniza menyentuh mengenai status Michael sebagai mualaf.

"Kalau dia nak berjumpa dengan saya, tak ada masalah. Tapi, bila dia dah sentuh mengenai agama dan status saya sebagai mualaf, itu sudah keterlaluan. Jadi, saya rasa, tak ada sebarang manfaat atau faedah pun sekiranya pertemuan itu berlangsung," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Michael, dia menulis pendapatnya di Twitter bukan sahaja mengenai Noraniza yang juga peserta program Gegar Vaganza 7 (GV7), tetapi semua peserta GV7. 

"Kalau lihat di Twitter saya, saya komen semua peserta dan bukannya dia saja. Lumrah bila menyertai pertandingan realiti TV, tentunya akan ada komen-komen pedas. Saya menulis komen kerana saya adalah pendengar dan penonton. Jadi, terima sajalah komen-komen itu. Saya sendiri pun kerap kali menerima kritikan daripada netizen, tapi tak ada pula saya melenting," katanya.

Menurutnya, ramai peserta program realiti yang menerima kritikannya secara terbuka, antaranya penyanyi Nabila Razali.

"Ketika di Akademi Fantasia, Nabila antara yang mendapat kritikan pedas daripada saya dan saya yang melabelkan suaranya seperti suara 'chipmunk'. Namun, dia terima dan belajar untuk memperbaiki dirinya. Jadi, sekarang kalau kami berjumpa, kami dapat bergelak ketawa sama-sama," katanya.

Di Twitter, Michael juga dikecam peminat Noraniza, yang mengatakan dia memeluk Islam untuk mencari populariti.

"Saya pun tak pasti sama ada akaun itu betul atau palsu. Saya nak jelaskan, kalau betul saya memeluk Islam untuk meraih populariti, lagi baik dari awal-awal saya mengucapkan dua kalimah syahadah, saya terus hebahkannya. Tapi, saya tak pernah kongsikan sampailah ada orang yang mendedahkan mengenai perkara itu. Jadi, tak timbul isu saya nak meraih populariti atau apa," katanya.

Michael juga menegaskan bahawa dia adalah pencipta dan pencetus idea untuk program GV itu.

"Kalau ada orang yang mempertikaikan hak saya untuk menulis komen mengenai GV, dia lupakah siapa pencipta program itu?" katanya.

Isu pertelingkahan antara Michael dengan Noraniza timbul apabila Michael menulis kritikan pedas mengenai persembahan Ratu Etnik Kreatif itu, sekali gus menimbulkan kemarahan Noraniza, keluarga dan peminatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 4:35 PM