Zara Zya
Zara Zya
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Zara Zya, 36, gembira apabila ramai terhibur dengan dialog spontannya yang teringin makan udang dalam salah satu babak drama bersiri Mr Bibik sehingga menjadi tular.

Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin berkata, dialog itu memang dibuatnya sendiri sewaktu penggambaran dan mengakui drama itu sangat kelakar.

"Itu adalah dialog spontan daripada saya. Memang kami sendiri pun tergelak-gelak jugalah sewaktu penggambarannya itu.

"Semalam, saya dapat tahu ia jadi tular di TikTok dan ada juga beberapa babak lain yang dimuat naik. Drama Mr Bibik ini memang kelakar dan banyak dialog yang spontan saja.

"Kalau tengok komen pula semua kelakar. Ada saja yang terhibur. Ramai pula nak pergi Sabah selepas ini kan?" katanya.

Semalam, tular di TikTok dan media sosial lain apabila sedutan babak membabitkan Zara, Saharul Ridwan, dan Liza Abdullah itu mencuit hati ramai. Daripada mood serius, tiba-tiba ia menjadi kelakar.

Mr Bibik yang ditayangkan menerusi slot Akasia di TV3 itu diarahkan Eez Jalaluddin dan Pali Yahya.

Ia turut dibintangi Raja Afiq, Roy Azman, Wanns Ahmad, Dayang Areeda dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 10:59 AM