Drama bersiri Mok Cun lakonan Erma Fatima, Umie Aida, Nora Danish, Betty Rahmad dan Datuk Rahim Razali yang ditayangkan di TV3, baru-baru ini memang menarik.

Drama komedi arahan Bade Haji Azmi memang disukai ramai terutama lakonan Erma sebagai Mok Cun yang kelakar. Malah, drama yang menampilkan dialog loghat Kedah itu antara yang mendapat rating tinggi di TV3.

Bagaimanapun, dalam ramai-ramai yang suka, ada juga yang kurang berpuas hati kononnya sebutan loghat utara atau Kedah dalam kalangan pelakonnya ada yang tidak betul dan tidak kena.

Seorang rakan SS yang berasal dari Kodiang, Kedah menyifatkan ada beberapa sebutan dan nahu dalam kalangan pelakonnya tidak betul.

Katanya, walaupun ia kelakar dalam kalangan penonton dari negeri lain, tetapi bagi penonton di utara tanah air terutama dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, ia jadi janggal dan tidak kelakar.

Menurut rakan SS, dalam salah satu episod drama itu, ada pelakonnya menyebut pasar sebagai ‘pasaq’.

Katanya, orang utara tidak pernah menyebut pasar sebagai ‘pasaq’, tetapi lebih kerap disebut ‘merket’ (daripada perkataan Inggeris, market yang bermaksud pasar) atau ‘nat’.

Katanya, perkataan ‘pasaq’ tidak wujud dalam ‘kamus’ loghat utara di Kedah, Pinang Pinang dan Perlis.

Mungkin perkara ini dianggap kecil oleh syarikat produksi dan pengarah, tetapi bagi penduduk di tiga negeri itu, ia tidak betul dan kesilapan itu sedikit sebanyak boleh menjejaskan kredibiliti penerbit drama itu.

Ini hanya teguran ikhlas sebagai penonton. Bagi SS, drama Mok Cun antara drama komedi terbaik tempatan.

SS kagum dengan usaha Bade yang sebelum ini dikenali dengan filem berat menghasilkan drama komedi. Begitu juga dengan lakonan Erma yang cukup mantap sebagai pelakon komedi.

Lagipun, sudah lama SS rindukan lakonan hebat daripada Erma.

SS: Tiba-tiba teringat lakonan Erma dalam filem pertamanya, Rozana Cinta 87. Memang ‘class’!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 5:01 AM