Perkongsian di media sosial yang tular
Perkongsian di media sosial yang tular
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Pelakon Angeline Tan menolak dakwaan dirinya sedang berbadan dua dan menganggap penyebaran berita itu sebagai tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak.

Malah, Angeline, 57, juga mempersoalkan tindakan individu yang menyebarkan khabar angin sehingga menjadi tular menerusi aplikasi Tik Tok baru-baru ini.

"Tidak betul, berita yang tersebar itu adalah palsu. Saya tidak tahu siapa punya kerja yang keluarkan berita begini.

"Pandai sahaja dia reka cerita palsu," kata Angeline menerusi aplikasi Whatsapp secara ringkas.

Sementara itu, suami kepada Angeline iaitu pelakon dan pengarah, Sabri Yunus, 63, menerusi hantaran di Facebook terhibur dan geli hati dengan fitnah yang tular itu.

"Hari paling kelakar sepanjang enam bulan yang lalu. Viral cerita fitnah paling kelakar.

"Kepada orang yang memulakan isu ini tidak rasa bersalah atau tak rasa berdosa pun?

"Dan juga kepada yang menyambut dan menyambung viralkan cerita ini tidak kah dia rasa yang serupa (bersalah)?

"Bukan apa, puas nak menjawab pada kawan-kawan yang bertanya mahu pengesahan. Ada kawan kata "tidak apa berita baik". Haha saya kata tak baik, itu fitnah," tulis Sabri.

Terdahulu, sebuah blog memuat naik berita mendakwa Angeline sedang hamil dengan usia kandungan memasuki satu bulan.

Rentetan itu, ruangan balas perkongsian tersebut dihujani dengan ucapan tahniah buat pasangan selebriti berkenaan.

Angeline dan Sabri mendirikan rumah tangga pada 13 Oktober tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 11:47 AM