AINA Abdul mendendangkan lagu Sumpah dalam Separuh Akhir Muzik-Muzik kelmarin. FOTO Faiz Anuar
AINA Abdul mendendangkan lagu Sumpah dalam Separuh Akhir Muzik-Muzik kelmarin. FOTO Faiz Anuar
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Aina Abdul akan terus menghasilkan karya yang mengangkat isu tekanan dan kemurungan seperti dipersembahkan menerusi lagunya, Sumpah.

Menurutnya, setiap orang akan berdepan dengan pelbagai jenis tekanan dan dia ingin menjadikan muzik sebagai medium pendedahan kepada isu itu.

"Saya juga pernah tertekan, namun bukanlah sehingga tahap menerima rawatan doktor. Tapi, saya yakin, setiap orang ada ketikanya terpaksa berdepan tekanan sehingga menyebabkan kemurungan.

"Saya menulis lagu sebagai saluran untuk meluahkan isi hati dan secara tak langsung menjadi 'suara' bagi mereka yang tertekan. Saya nak mereka tahu, mereka sebenarnya tak bersendirian," katanya kepada Harian Metro.

Diminta mengulas mengenai penampilannya yang dikritik hebat oleh warganet di media sosial, naib juara Mentor Legend itu cuba mengelak daripada membaca komen negatif.

"Kalau baca, saya sendiri yang akan rasa tertekan dan kadangkala, boleh ambil masa dua ke tiga hari sebelum kembali okey," katanya.

Sumpah adalah lagu ciptaan Aina sepenuhnya dan diumumkan sebagai antara lagu yang layak melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 3:51 PM