Kuala Lumpur: Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan kejayaan konsert A Night with Aina Abdul 3.0 (ANWAA 3.0) yang berlangsung Sabtu lalu sebagai bukti kesungguhan dan kerja keras Aina sendiri.
Komen itu dilontarkan Siti yang digelar Penyanyi Nombor Satu Negara di ruangan komen dalam hantaran terbaharu Aina di Instagramnya.
"Tahniah Aina! Bukti kesungguhan dan kerja keras," tulisnya disertakan dengan emoji tepukan tangan.
Komen Siti itu dibalas oleh Aina dengan ucapan terima kasih.
"Terima kasih Tok Ti," tulis Aina disertakan dengan emoji hati.
Komen itu mendapat perhatian ramai peminat kedua-dua mereka yang meraikan sokongan Siti terhadap Aina yang dianggap sebagai artis generasi baharu yang akan pergi jauh.
Dalam hantaran terbaharu itu, Aina memuat naik video kenangan sepanjang konsert tiga jam itu berlangsung di Axiata Arena, Sabtu lalu.
"Untuk merangkumkan persembahan yang hampir tiga jam. Syukur adalah satu-satunya perkataan yang muncul dalam hati saya!
"Terima kasih kepada setiap yang memainkan peranan penting dalam menjayakan ANWAA 3.0. Kita adalah satu pasukan besar dengan satu impian.
"Alhamdulillah, kita berjaya," tulisnya.