JANNA Nick dan kekasihnya, Dini.
JANNA Nick dan kekasihnya, Dini.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pelakon Janna Nick akan mengambil langkah sama seperti sepupunya, Adam Lee yang berkongsi berita pertunangan dengan pelakon Sweet Qismina pada hari mereka melangsungkan pertunangan.

Janna berkata, dia akan berkongsi berita gembira itu pada waktu yang tepat.

"Adam dan Sweet memilih untuk tidak bercerita sebelum pertunangan berlangsung. Jadi, saya pun akan mengambil pendekatan sama. Sampai masa pasti saya akan beritahu kepada semua," katanya yang juga kekasih pelakon, Dini Schatzmann.

Menurut Janna, mereka tiada niat untuk melengah-lengahkan hubungan yang terjalin sebaliknya dia dan Dini perlu membuat pelbagai persiapan sebelum menuju hari bahagia.

"Perkahwinan memerlukan komitmen yang sangat tinggi. Saya tidak mengambil remeh dan enteng fasa ini. Banyak yang perlu saya siapkan dari segala segi.

"Alhamdulillah saya kini bahagia dengan Dini. Doakan yang baik-baik dan semoga segalanya dipermudahkan buat kami berdua," katanya.

Ahad lalu, Adam dan Sweet selamat mengikat tali pertunangan selepas tiga tahun menyulam percintaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 3:37 PM