Pengarah dan penerbit, Azman Yahya atau Jinggo.
Pengarah dan penerbit, Azman Yahya atau Jinggo.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pengarah, Azman Yahya atau Jinggo membayangkan pengarah popular, Aziz M Osman paling layak untuk menyambung dan menyelesaikan karya besar Allahyarham Mamat Khalid yang belum sempat disiapkan.

Selain Aziz, Azman turut memberi pandangan anak Allahyarham turut layak untuk menyambung legasi itu.

Azman yang membahasakan dirinya Tok Sidang dalam satu hantaran di Instagram, turut meluahkan suara hatinya apabila Mamat tidak diberikan apa-apa gelaran ketika hayatnya.

Dalam masa sama, dia juga mengharapkan Aziz akan lebih dihargai dan tidak menerima nasib seperti Mamat.

Menurut Azman, Aziz dan Mamat adalah dua pengarah yang banyak memberi inspirasi kepadanya sejak terbabit dalam bidang penerbitan drama.

Bercerita mengenai kenangannya bersama Mamat, Azman berkata, dia menjadi koordinator untuk drama pertama arahan Mamat iaitu Tik Tok Sekali Peristiwa, namun ia tidak pernah ditayangkan.

Bersama Aziz pula, Azman berkata, Aziz adalah pengarah terawal yang menawarkannya kerja di produksi sebagai 'handyman' pada 1999.

Azman yang juga pemilik syarikat produksi JS Pictures turut mendoakan yang terbaik buat Aziz dan mengharapkan Aziz terus dihargai dan diberi pengiktirafan yang sepatutnya.

Hantaran itu menerima lebih 3,000 tanda suka dan rata-rata pengikutnya bersetuju dengan tulisan Azman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 4:57 PM