AZIZ (tiga dari kanan) dan Azman  (enam dari kanan) merasmikan Projek Kemasyarakatan Menaik Taraf Jalan Kampung Bendang Nibong, Bukit Gantang.
AZIZ (tiga dari kanan) dan Azman (enam dari kanan) merasmikan Projek Kemasyarakatan Menaik Taraf Jalan Kampung Bendang Nibong, Bukit Gantang.
Mohd Hafizee Mohd Arop


SEBANYAK RM300,000 diperuntukkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk menaik taraf jalan di Kampung Bendang Nibong, Changkat Jering di sini, sekali gus memanfaatkan lebih 3,000 penduduk yang tinggal berhampiran lebuh raya kendalian syarikat itu.

Laluan sepanjang tiga kilometer itu siap dinaik taraf pada November tahun lalu, memberi kemudahan kepada penduduk berulang alik menggunakan laluan berkenaan, setiap hari.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, selain penduduk Kampung Bendang Nibong, kemudahan jalan yang lebih selesa itu turut dinikmati penduduk di lapan kampung lain antaranya Kampung Bukit Chempedak, Kampung Banggol Nering dan Kampung Bukit Gantang.

Katanya, PLUS mengambil inisiatif menaik taraf laluan itu yang terletak bersebelahan lebuh rayanya disebabkan jalan sebelum ini dipenuhi lopak dan boleh membahayakan nyawa penduduk.

“Program ini juga strategi PLUS menyumbang semula kepada masyarakat yang tinggal berhampiran jajaran lebuh raya kendalian kami.

 PENDUDUK  melalui   Jalan Kampung Bendang Nibong, Bukit Gantang yang sudah dinaik taraf oleh PLUS.
PENDUDUK melalui Jalan Kampung Bendang Nibong, Bukit Gantang yang sudah dinaik taraf oleh PLUS.

“Kepakaran dimiliki PLUS dalam mengurus dan menyelenggara infrastruktur lebuh raya digunakan untuk melaksana projek naik taraf dan pembaikan jalan kampung berdekatan untuk membantu meningkatkan serta melestarikan kualiti hidup masyarakat setempat,” katanya.

Azman berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penyerahan Jalan Susur Dinaik Taraf itu yang disempurnakan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Aziz Abdullah, semalam.

Pada majlis itu juga, PLUS menyampaikan sumbangan zakat RM50,000 kepada Surau Ar-Rahmah, Kampung Bendang Nibong dan RM300 setiap seorang kepada 50 asnaf kariah surau berkenaan.

Azman berkata, PLUS akan terus melaksanakan program khidmat masyarakat seumpama ini dan menggiatkan lagi inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Sementara itu, Ketua Kampung Bendang Nibong, Roslan Muhamad berkata, pihaknya berterima kasih kepada pihak PLUS kerana menaik taraf laluan sepanjang tiga kilometer itu yang sebelum ini membahayakan nyawa penduduk.

Katanya, beberapa kemalangan sebelum ini berlaku membabitkan penunggang motosikal berikutan jalan yang berlopak serta dipenuhi air ketika hujan dan inisiatif PLUS amat dihargai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 10:00 AM