Azman (kiri) bersama  Allahyarham Mamat Khalid dalam satu pertemuan baru-baru ni.
Azman (kiri) bersama Allahyarham Mamat Khalid dalam satu pertemuan baru-baru ni.

Kuala Lumpur: Jejaka tular dengan lagu parodi di media sosial, Azman Naim, 36, antara yang terkesan besar dengan pemergian pengarah tersohor, Allahyarham Mamat Khalid, semalam.

Azman atau nama sebenarnya Mohd Nur Azman Naim mengakui perkenalan singkat dan kepercayaan diberi arwah kepadanya adalah hal paling bermakna dalam hidupnya.

Menurutnya, sewaktu Mamat menawarkannya berlakon, tidak terlintas rasa ragu-ragu untuk menerima disebabkan yakin pengarah itu sentiasa buat keputusan bijak.

"Alhamdulillah saya sempat bersama seorang seniman agung alam Melayu zaman ini. Di mana hasil seninya bukan sekadar seni semata. Yang peka akan faham. Mengapa saya terima terus lamaran Mamat Khalid sedangkan ramai lagi sebenarnya pengarah dan penerbit yang hubungi saya. Satunya adalah kerana Mamat nak watak Gerhana itu sepenuhnya diri saya, tapi muda 10 hingga 20 tahun. 

"Darah muda, ganas, kasar, sukar diduga, berilmu, ingin tahu dan memberontak. Hanya tukar nama Azman kepada Gerhana, dan jadi lebih muda. Saya jadi kekal macam diri saya jadi hasilnya semula jadi.  Dia bijak meletakkan seseorang di tempat yang paling sesuai," katanya.

Menurut Azman, terlalu banyak ilmu dikongsi arwah walaupun dalam waktu yang singkat.

Malah, dia sudah persiapkan diri untuk penggambaran filem Kampung Pisang berbuah 2 kali pada Jumaat ini. 

"Kalau ikut katanya, saya akan diberi watak dalam filem itu. Pengenalan saya sebagai Gerhana, adik Purnama. Dari awal saya sudah tanya Mamat, nampak macam filem itu banyak fokuskan kepada saya. Saya tanya sekiranya ia berbaloi sebab orang baharu dan tidak pernah ada berlakon filem.

"Boleh pergikah cerita itu nanti, risau tiada orang tengok sebab saya ini tak popular. Dia jawab ringkas dan suruh buat saja," katanya.

Azman turut mendedahkan, kali terakhir Mamat menghubunginya adalah pada 21 Oktober lalu. Pengarah itu memintanya menyanyi lagu Kehebatan Cinta yang dipopularkan Datuk Jamal Abdillah dan Francesca Peter untuk filem itu.

Terdahulu, Azman tular apabila video parodinya menerusi lagu My Sejahtera Way mendapat perhatian luar biasa termasuk Tunku Ismail yang mahu berjumpa dengannya.

Azman mula memuat naik video lagu parodi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada 13 Januari lalu.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Mamat meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Slim River, Perak, semalam.

Pemergiannya jelas ditangisi ramai dan satu kehilangan besar industri hiburan tempatan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 12:39 PM