NORA
NORA
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Datuk Nora Ariffin, 48, menganggap situasi meluahkan perasaan di kubur insan tersayang adalah perkara biasa dan bukan 'psiko' atau pelik.

Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin berkata, mengadu di kubur adalah satu bentuk terapi yang bersifat komunikasi satu hala.

"Saya nak kongsi pengalaman yang dilalui dan berdasarkan perkongsian daripada orang-orang senasib dengan saya. Untuk pengetahuan semua, apabila seseorang itu kehilangan atau kematian seseorang yang kita sayangi, perkara sering lakukan selain berdoa, sedekahkan bacaan surah al-Fatihah, surah Yasin dan sebagainya adalah kita ziarah kubur.

"Ziarah kubur tiap-tiap hari, bercakap, mengadu, bercerita, menangis kepada arwah adalah perkara biasa. Bukan pelik atau dianggap 'psiko', de presi atau murung. Ia adalah komunikasi satu hala dan terapi yang sangat melegakan pasangan," katanya.

Nora berkata, perkara itu sepatutnya tidak dijadikan bahan sindiran terutama yang tidak memahami perasaan individu berbuat demikian.

"Bukan berdosa dan salah pun, asalkan jaga batas-batas tertentu. Pendek kata, yang tak rasa tak akan tahu dan faham. Maka jangan mengata pada orang lain.

"Lebih baik kita beri kata-kata baik dan sokongan. Pesan dan nasihat saya pada semua, tiada apa pun yang kekal di dunia ini. Apa yang kita ada adalah 'pinjaman' saja. Jangan sombong," katanya.

Terdahulu, Nora berkongsi hantaran gambar kubur suaminya Allahyarham Johan Nawawi di Instagram.

Johan yang juga komposer popular meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun.

Pada 14 Disember 2019, Nora dan keluarga diuji lagi apabila anak keduanya, Alif meninggal dunia secara mengejut pada usia 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 5:57 PM