ADEGAN Nick Brewer menayangkan kad dengan tulisan dalam siri mini Clickbait.
ADEGAN Nick Brewer menayangkan kad dengan tulisan dalam siri mini Clickbait.
Syafil Syazwan Jefri

Siri mini dengan lapan episod terbaharu, Clickbait kini menjadi satu daripada beberapa siri yang dibualkan oleh peminat dan pelayar Netflix.

Saya bukanlah peminat siri di platform itu, tetapi memandangkan ia adalah siri mini dengan hanya lapan episod, saya luangkan sedikit masa untuk menonton.

Trailer dan poster Clickbait ini sahaja sudah memadai untuk membuatkan saya tertarik.

Secara ringkasnya, Clickbait mengisahkan mengenai kehilangan Nick Brewer (Adrian Grenier) yang disusuli dengan munculnya video yang menayangkan Nick memegang beberapa kad dengan tulisan.

Kad-kad yang dipegangnya tertera beberapa pengakuan mengenai dirinya yang dikatakan bersalah kepada wanita dan membunuh salah seorang daripada mereka.

ANTARA babak menarik dalam siri mini Clickbait.
ANTARA babak menarik dalam siri mini Clickbait.

Adiknya, Pia Brewer berusaha mencari abangnya dengan bantuan detektif Roshan Amiri, namun berdepan kegagalan sehinggalah Nick disahkan meninggal dunia apabila mayatnya ditemui.

Sepanjang penyiasatan, muncul pelbagai cerita lain sekali gus membongkar kisah silam Nick yang dikatakan memiliki beberapa akaun media sosial dengan identiti berbeza.

Nick juga dianggap sebagai lelaki yang tidak bertanggungjawab apabila ada beberapa wanita yang kononnya menjadi mangsa, tampil memberikan kenyataan.

Namun begitu, apa yang disangka bukanlah kebenaran, sebaliknya Nick adalah mangsa sebenar dalam situasi yang berlaku.

Setiap episod menampilkan subjek yang berbeza dan ada kaitan dengan perjalanan kisah hidup Nick dan ada juga yang muncul dalam proses penyiasatan.

Penonton disajikan dengan pelbagai spekulasi mengenai siapakah suspek sebenar yang menyebabkan kematian Nick.

Saya akui, siri ini berjaya mencangkuk perhatian saya untuk terus menonton episod demi episod sehinggalah yang terakhir, di mana semuanya dirungkai.

'Plot twist' yang dipaparkan dalam Clickbait juga tidak kurang hebat apabila banyak perkara tidak dijangka berlaku.

Dari segi mesej yang disampaikan menerusi siri mini ini, saya yakin, pengajaran utamanya adalah bagaimana teknologi dan ilmu pengetahuan dalam dunia IT disalahgunakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

• FILEM: Clickbait

• PENGARAH: Brad Anderson, Emma Freeman, Ben Young, Laura Besley

• PENULIS SKRIP: Tony Ayres, Christian White

• PELAKON: Zoe Kazan, Betty Gabriel, Pheonix Raei, Abraham Lim, Adrian Grenier, Motell G Foster, Jessie Collins

• TERBITAN: Matchbox Pictures, Tony Ayres Productions, Heyday Television, NBC Universal International Studios

• ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 6:35 AM