Syafil Syazwan Jefri

SELEPAS menempa kejayaan dalam musim pertama, siri web The Bridge kini hadir untuk musim kedua yang ditayangkan di platform penstriman Viu.

Pelakon yang juga bintang dari Singapura, Rebecca Lim masih kekal memegang watak utama di samping pelakon dari Malaysia, Bront Palarae

Bagi musim kedua ini, karakter lakonan yang dilakonkan iaitu Serena Teo akan terus meneroka pelbagai perkara mencemaskan dan merungkai misteri jenayah.

Bagi Rebecca, musim kedua ini membuka lebih ruang buatnya untuk menonjolkan kemampuan lakonan sebenar.

"The Bridge umpama 'jambatan' yang menghubungkan beberapa negara dalam satu karya. Dalam musim pertama, hanya dua negara yang terbabit iaitu Malaysia dan Singapura.

"Kali ini, liputannya meluas sehingga ke Indonesia dan Filipina sekali gus memberi ruang buat saya untuk meneroka lebih jauh lagi dengan watak Serena ini, katanya.

Menurut Rebecca, tidak hanya melakukan tugasan sebagai pelakon bagi menjayakan karakter Serena, dia juga dapat belajar banyak perkara baharu.

"Perkara terbesar buat saya adalah apabila dapat melihat dan belajar mengenai kebudayaan negara lain, katanya.

Berkongsi mengenai persediaannya dalam menjayakan watak itu bagi musim terbaharu, Rebecca berkata, dia tidak mempunyai banyak waktu untuk melakukan latihan.

"Dalam musim pertama, saya diberikan masa tiga hari untuk menjalani latihan. Namun, untuk kali ini, saya tak ada banyak masa untuk berlatih.

"Namun, saya gembira kerana ada banyak aksi yang saya lakukan dan banyak babak membabitkan saya dengan Bront, katanya.

Ditanya mengenai jalan cerita musim kedua, Rebecca berkata, dia sendiri teruja untuk menonton kesemua episod.

"Semalam, episod perdana mula ditayangkan di Viu dan apa yang boleh saya katakan, episod pertama saja sudah ada kejutan buat penonton.

"Setiap episod ada kaitan antara satu sama lain dan tentunya, akan menjadi 'cangkuk' yang akan membuatkan penonton terus melekat untuk menonton, katanya.

Selain Rebecca, The Bridge musim kedua turut dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Ario Bayu, Wan Hanafi Su, Fikry Ibrahim, Joseph Marko dan ramai lagi.

REBECCA banyak belajar perkara baharu sejak berlakon dalam The Bridge.
REBECCA banyak belajar perkara baharu sejak berlakon dalam The Bridge.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 6:30 AM