SUASANA pelancaran Bulan Kemerdekaan  Peringkat Biro Tata Negara di Jabatan Perdana Menteri, semalam.
SUASANA pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat Biro Tata Negara di Jabatan Perdana Menteri, semalam.
Suhaila Shahrul Annuar


Putrajaya: “Jiwa patriotik ini kita ibaratkan seperti pokok, jika tidak disiram dengan air akan terus layu dan mati,” kata Ketua Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Datuk Ibrahim Saad.

Beliau berkata, semangat patriotisme dalam kalangan rakyat negara ini masih menebal, namun usaha berterusan perlu dilakukan untuk menyemarak dan menyuburkannya lagi.

“(Jadi) dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat, pelbagai program berkaitan kenegaraan dirangka sepanjang bulan kemerdekaan ini.

“Ia termasuk persembahan puisi dan nyanyian lagu patriotik dalam perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sepanjang perjalanan dari Stesen KL Sentral ke Padang Besar,” katanya selepas Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang BTN, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, 400,000 Jalur Gemilang akan diedarkan kepada premis kerajaan seluruh negara sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017 mulai hari ini dalam usaha menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat.

Katanya, pengedaran secara percuma itu akan membabitkan 4,000 premis kerajaan termasuk sekolah, klinik kesihatan, hospital, balai bomba dan balai polis.

“Setiap daripadanya akan menerima kira-kira 100 Jalur Gemilang untuk dikibarkan di premis masing-masing sepanjang sambutan bulan kemerdekaan.

“Selain pengedaran bendera, pegawai dan kakitangan BTN juga akan mengadakan aktiviti lain termasuk sesi ceramah berkaitan kenegaraan di premis yang terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 6:07 AM