BUNKFACE
BUNKFACE
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my

Setiap tahun, tentunya kita sebagai rakyat Malaysia akan menantikan kehadiran lagu tema Hari Kebangsaan.

Tahun ini, ada kelainan yang ditampilkan apabila Bunkface diberi peluang untuk menyahut cabaran ini, sekali gus menghasilkan lagu tema Hari Kebangsaan ke-61.

Sam selaku penyanyi Bunkface bertindak sebagai komposer dan penulis lirik lagu ini sekali gus menukar corak lagu tema daripada yang kita pernah dengar sebelum ini.

Secara peribadi, Kita Punya Malaysia sangat segar dari susunan muzik dan lirik.

Bagi peminat setia Bunkface, rentak muzik sebegini mungkin tidak lagi asing. Masih jelas kedengaran identiti band yang dianggotai Sam, Youk dan Paan ini.

Dari segi lirik, lagu ini sememangnya berjaya menaikkan semangat setiap yang mendengar. Sesuai dengan Hari Kebangsaan, tentunya ia berkisar mengenai semangat patriotik.

“Jangan lemah. Bangunlah. Buat baru semula. Percayalah hari ini kita punya. Impian aku gemilang baru. Satu suara laungkan ‘Merdeka!’. Bangkit semua demi negara. Selamanya,” antara lirik dalam lagu itu.

Paan berkata, mereka ingin sebarkan rasa positif dalam kalangan generasi baru.

“Objektif utama kami adalah untuk menyebarkan mesej positif kepada generasi baru. Lagu kami yang sebelum ini pun kebanyakannya memang menyuntik semangat.

“Bezanya dari segi lirik kerana ia berteraskan semangat patriotisme kepada negara,” katanya.

Dalam pada itu, video muzik Kita Punya Malaysia masih dalam pembikinan. Tentunya, ia akan kerap berkumandang sepanjang bulan kemerdekaan tahun ini.

• LAGU: Kita Punya Malaysia

• ARTIS: Bunkface

• LAGU & LIRIK: Sam

• TERBITAN: Bunkface Production Sdn Bhd

• EDARAN: Universal Music Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 12:49 PM